Sunday, November 28, 2010

USAHAWAN SEBAGAI KERJAYA

Sem      -April 10/11
From    -Mindss
To        -Dr. Nazri Baharom
Subjec  -Pengurusan Kerjaya


1. Analisis dan bincangkan penawaran kerja kosong melalui iklan di dalam salah satu surat khabar utama di Malaysia (bermula tarikh 4 April 2010 hingga 3 Mei 2010).

1.0   PENGENALAN
Kerja secara umumnya boleh didefinisikan sebagai usaha seseorang untuk mendapatkan hasil serta penggunaan tenaga untuk kegiatan yang diinginkan oleh seseorang untuk mencapai matlamat tertentu. Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson (2000) dalam Pengurusan Kerjaya, menyatakan kerja adalah satu jawatan berbayar yang dipegang oleh seseorang dalam sesebuah organisasi. Manakala kamus dewan edisi ke-3 mendefinisikan kerja sebagai, usaha (kegiatan, urusan) yang bertujuan untuk menghasikan (menyelesaikan,menyediakan) sesuatu. Rumusannya kerja yang sangat sinonim dengan perkataan usaha ini merupakan satu tingkah laku seseorang untuk mendapatkan apa yang diingini. Pekerjaan suatu masa dahulu tidak menjadi persoalan yang penting kepada masyarakat. Disebabkan faktor-faktor persekitaran ketika itu memandai jika seseorang berkebolehan bercucuk tanam serta mempunyai kemahiran tertentu. Sehubungan itu penawaran kerja yang dikemukakan pastinya tidak sehebat masa kini yang kita ketahui bergerak pantas seiring peredaran masa. Dan akhbar merupakan salah satu entiti yang digunakan untuk menjadi saluran pengiklanan penawaran kerja dari masa ke masa. Dengan kepelbagaian tawaran yang dibuka kepada firma-firma dan orang perseorangan oleh akhbar-akhbar tempatan untuk memuatkan sebarang pengiklanan, iklan jawatan kosong khususnya.
Untuk mengetahui lebih jelas berkaitan penawaran kerja semasa yang paling banyak diutarakan di dalam akhbar satu analisis penawaran kerja kosong melalui iklan di dalam salah satu akhbar utama di Malaysia telah dilakukan. Analisis ini menggunakan akhbar Berita Harian yang bertarikh bermula 4 April 2010 sehingga 3 Mei 2010. Melalui analisis ini beberapa maklumat dapat dikumpul dan dirumuskan.

2.0   PENAWARAN KERJA KOSONG PALING POPULAR
Berita Harian merupakan akhbar utama bahasa Melayu tanah air. Pembaca Berita Harian terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat meliputi pelajar, suri rumah, golongan kelas menengah dan juga ahli perniagaan. Merupakan media cetak terbesar di Malaysia dengan keupayaan untuk menjangkau pasaran secara pantas dan pada masa yang sama menyediakan pembaca kepada maklumat menyeluruh. Oleh hal berkenaan secara tidak langsung dapat menarik keyakinan pengiklan bahawa pembaca Berita Harian yang berfikiran terbuka dapat menerima produk-produk baharu yang ditawarkan. Sehubungan itu iklan-iklan yang dipaparkan sudah semestikan mengikut keperluan semasa. Melalui pemerhatian yang bermula empat April 2010 sehingga tiga Mei 2010 mendapati penawaran kerja kosong lebih memerlukan pengedar, stokis dan agen jualan kepada sesuatu produk atau dalam erti kata lain membuka ruang masyarakat menjadi peniaga kecil seterusnya ke peringkat usahawan.   
Kemunculan kepelbagaian produk seperti produk kesihatan, produk kecantikan, produk pemakanan dan sebagainya secara tidak langsung membuka peluang dan mendorong  masyarakat  bekerja dan memenuhi kehendak dalam kehidupan mereka. Dari masa ke masa  produk baru sentiasa diperkenalkan, kosmetik atau produk kecantikan terutamanya yang mendapat tempat dalam pasaran kini. Dianggarkan lebih 30 produk yang berlainan berada dalam pasaran bersaing mendapat tempat di hati pembeli. Berikutan persaingan ini para pengasas mempunyai pelbagai cara untuk mempromosikan atau memperkenalkan produk mereka, dan salah satu caranya ialah menggunankan tenaga manusia. Oleh hal yang demikian secara tidak langsung lebih banyak produk baharu diperkenalkan maka lebih banyak penawaran bakal kerja dikemukan.
Permintaan yang tinggi daripada pengguna menjadi faktor lebih banyak produk-produk baru diperkenalkan. Peluang keuntungan yang dikenal pasti menambahkan lagi semangat para usahawan sedia ada juga mereka yang baru mengenali mengambil risiko membuka perniagaan dengan memperkenalkan produk-produk tersendiri. Perniagaan dan keusahawanan merupakan satu bidang pekerjaan yang mencabar walaupun kelihatan mudah. Kedua-duanya mungkin membawa erti kata yang sama dari satu sudut iaitu bekerja sendiri menjual atau memberi perkhidmatan tertentu namun kedua-duanya adalah berbeza. Perniagaan merupakan suatu urus niaga jual beli dan tidak lebih daripada itu. Seorang peniaga hanya memikirkan pasal keunrungan dan tidak akan cuba untuk mengembangkan perniagaan tersebut. Biasanya seorang seorang peniaga hanya menjual barang yang sudah ada sahaja dan tidak akan cuba mengaplikasikan suatu suatu barang yang baru. Manakala seorang usahawan mempunyai perancangan jangka panjang. Ini sangat berlainan. Seorang usahawana mempunyai semangat kecekalan, ketabahan dan keazaman yang jitu dan utuh. Seorang usawahan biasanya merancang dahulu sesuatu perkara,tempat dan apa sahaja yang berkaitan produk serta perkhidmatan yang ingin dihasilkan. Selain itu seorang usahawan juga tidak hanya memikirkan untung semata-mata.
Kembali kepada tajuk utama perbincangan. Kedua-duanya iaitu peniaga dan usahawan, boleh dikaitkan. Mungkin ada yang hanya menjadi pengedar, stokis atau agen semata dan berniaga secara kecil-kecilan namun tidak kurang yang berpandangan jauh seterusnya mengambil keputusan memperbesarkan dan mengolah apa yang tersedia ada menjadi suatu benda atau perkara baru yang lebih komersial.        

3.0 FAKTOR-FAKTOR SESEORANG MEMILIH KERJAYA USAHAWAN
Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri dalam memilih kerja. Faktor-faktor penting seperti gaji, tempat tinggal, kemudahan yang disediakan dan sebagainya menjadi titik tolak penerimaan seseorang dalam sesuatu pekerjaan. Begitu juga dalam konteks ini, terdapat pelbagai sebab yang mendorong masyarakat memilih menjadi usahawan atau berniaga dan sebab-sebabnya adalah seperti berikut;
  1. Trend masa kini. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, suka mencuba sesuatu yang menjadi perhatian. Sehubungan itu suatu produk baharu di pasaran akan sentiasa mendapat permintaan tinggi apatah lagi jika produk berkenaan menepati citarasa pengguna.
  2. Tidak memerlukan modal yang banyak. Boleh memulakan perniagaan yang sesuai dengan modal yang ada. Keberangkalian kerugian juga adalah rendah.
  3. Tidak memerlukan kepakaran atau pengetahuan khusus. Mungkin bagi mereka yang berpendidikan rendah ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan. Kepakaran dalam berkomunikasi adalah yang terpenting. Hal ini kerana pekerjaan jenis ini memerlukan daya tarikan untuk menarik pembeli atau pengguna.
  4. Tiada bos. Selain itu tiada arahan itu ini daripada bos atau majikan juga memberikan kepuasaan kepada mereka yang memilih kerjaya sebagai peniaga atau usahawan. Orang yang suka bekerja bebas tanpa arahan selalunya condong memilih bekerja sendiri.
  5. Kerja sampingan. Menambah dan mengukhuhkan pendapatan dengan membuat sebarang perniagaan sebagai kerja sampingan juga popular masa kini. minat turut mendorong seseorang melibatkan diri dalam bidang ini. Walaupun mempunyai kerjaya tetap namun masih meninggalkan sedikit ruang untuk memenuhi kepuasan peribadi. Guru contohnya yang ramai melibatkan diri dalam bidang berniaga secara kecil-kecilan.          
Namun begitu semangat yang kuat perlu ada dalam setiap diri mereka yang ingin melangkah ke alam keusahawanan kerana tidak semuanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Fenomena pasang surut sering berlaku mengikut keadaan semasa dan usaha. Kekayaan dan risiko kedua-duanya terletak dalam tangan yang mengusaha.       
        
4.0 MANFAAT KEUSAHAWANAN
Bidang keusahawanan kini merupakan salah satu bidang yang penting dalam industri Malaysia. Pendapatannya turut menyumbang kepada pembangunan negara. Peranan keusahawanan bukan sahaja menyumbang kpeada pembangunan negara dari segi ekonomi khususnya bahkan ia juga melibatkan kepada struktur perniagaan dan masyarakat. Keusahawanan melalui proses kreativiti dan inovasi mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan yang diperlukan untuk memenuhi kehendak masyarakat. Di dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baik, mereka akan mencari kaedah yang lebih baik untuk memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran. Dengan ini, masyarakat akan mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah. Selain itu pertumbuhan dalam keusahawanan yang memerangsangkan sektor ekonomi secara langsung membuka peluang pekerjaan kepada segelinap masyarakat sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.
            Keusahawanan membantu memperbaiki mutu kehidupan masyarakat melalui produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan. Usahawan adalah individu yang bukan hanya mencipta kekayaan tetapi turut mendorong pembahagian kekayaan. Dalam Islam juga ada menyebut tentang kebaikkan berniaga dan menjadi seorang usahawan. Buktinya, Islam sangat mengiktiraf keusahawanan sebagai salah satu daripada cabang ibadat sehingga mengakui 90 peratus daripada sumber rezeki datangnya daripada hasil perniagaan. Sejarah keusahawanan Islam telah bermula sejak kejadian manusia di mana dua orang anak Nabi Adam Alaihissalam iaitu bapa kepada semua manusia melopori dua bidang utama keusahawanan. Anak pertama Habil mempelopori bidang pertanian manakala adiknya Qabil mempelopori bidang penternakan. Selain itu sejarah Islam turut menyaksikan kebanyakkan nabi yang diutuskan Allah S.W.T telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sama ada dalam bidang pertanian, ternakan, pertukangan dan perniagaan yang bukan sekadar di peringkat dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.
            Antara kepentingan atau manfaat keusahawanan lain ialah meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan merupakan salah satu strategi membasmi kemiskinan. Pendedahan demi pendedahan akan kepentingan bidang keusahawanan membuka mata masyarakat untuk menceburinya. Hanya mahu atau tidak mereput peluang ini sahaja kerana peluang sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin mencuba. Dalam keusahawanan kita dapat mempelajari pelbagai ilmu baru, bukan setakat mengetahui selok belok menjalankan perniagaan. Komunikasi lebih lancar dan dengan cara yang betul juga dapat diperbaiki apabila mereka berhubung sesama usahawan juga para pelanggan. Selain itu melalui keusahawanan seseorang mempunyai kemahiran khusus yang orang lain tidak ketahui iaitu menguasai ilmu tentang produk yang dijual. Sebagai contoh seorang usahawan menjual barang kosmetik, secara tidak langsung ia harus mengetahui kegunaan, kebaikkan sesuatu produk kepada individu tertentu mengikut kesesuaian, bahan-bahan yang terkandung dalam produk-produk berkenaan, cara-cara pemakaiannya atau penggunaannya dan lain-lain.
            Apa yang dapat dirumuskan ialah keusahawanan merupakan bidang yang banyak membuka peluang kepada masyarakat melayakkan diri untuk bersaing membangunkan kemajuan diri dalam segelinap sudut. Pelbagai manfaat yang diperolehi daripada keusahawanan harus disedari semua.               
   
5.0 PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DI MALAYSIA
Sejarah keusahawanan Islam telah kita ketahui serba sedikit seterusnya akan kita singkap sejarah permulaan keusahawanan di Malaysia. Keusahawanan di Malaysia bermula seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila penduduk tempatan menjalankan urusniaga dengan pedagang asing. Tanah Melayu khususnya Melaka ketika itu menjadi tempat pelabuhan pedagang-pedagang berhenti. Kemahshurannya di kalangan pedagang luar tidak asing lagi sehingga menimbulkan minat dikalangan kuasa besar untuk menaklukinya. Dan akhirnya apabila British berjaya memerintah Tanah Melayu, mereka membawa masuk buruh dari Cina dan India seterusnya menukarkan struktur sosial sedia ada dengan menjalankan pemerintahan “Pecah dan Perintah”. Dengan pemecahan ini orang Melayu dikerah bekerja sebagai pentadbir dan ditempatkan disektor pertanian. Kaum Cina bekerja dilombong dan berniaga manakala kaum India bekerja disektor perladangan. Hasilnya kaum Cina lebih kehadapan dalam soal perniagaan berbanding dengan kaum Melayu dan kaum India.
            Selepas kemerdekaan, kerajaan Malaysia menyedari betapa pentingnya bidang keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara serta mula memikirkan kepentingan sumbangannya kepada negara. Semenjak dari itu, kerajaan telah menekankan bidang keusahawanan sehingga hari ini. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020, semua pihak menggalakkan dan memberi sokongan terhadap pembangunan keusahawanan merupakan bukti-bukti kerajaan Malaysia  mengambil berat akan bidang keusahawanan.      
            Selain itu kerajaan menunjukkan galakan terhadap pembangunan keusahawanan dengan memberikan pengiktirafan kepada usahawan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Pada tahun 1995 kerajaan menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan sebagai badan yang mengawal dan mempromosi pembangunan keusahawanana di Malaysia. Kini, kementerian tersebut telah ditukar kepada kepada Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi. Penggalakkan keusahawanan turut di serap kepada masyarakat melalui perkenalannya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) baik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Suatu program telah dirangka dan dilaksanakan di beberapa buah IPT di Malaysia. Program ini dinamakan Program Pembudayaan Keusahawanan Siswa dan mempunyai empat aktiviti utama. Aktiviti pertama merupakan modul keusahawanan yang diajar untuk semua pelajar tahun satu sebanyak dua jam kredit. Aktiviti kedua ialah pelajar diminta menganjurkan kursus asas keusahawanan siswa selama lima hari untuk pelajar tahun akhir. Manakala aktiviti ketiga ialah Program Pembudayaan Usahawan Siswa (PPUS) tajaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Aktiviti keempat pula ialah program Student In Free Enterprise (SIFE) yang bertujuan untuk menggalakkan siswa menjalankan aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
            Pembangunan keusahawanan di Malaysia berkembang pesat sepesat pembangunan negara. Kerajaan berusaha keras dari masa ke masa memberi sokongan dalam bidang keusahawanan untuk memastikan masyarakat sedar akan kepentingannya iaitu bukan sahaja dapat menyumbang manfaat kepada pertumbuhan negara bahkan memberi kebaikkan kepada individu yang terlibat sendiri.          

6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya menerusi penawaran kerja kosong melalui iklan di dalam surat khabar Berita Harian mulai 4 April 2010 hingga 3 Mei 2010, didapati penawaran kerja kosong bukan sahaja terhad kepada kerja perkeranian, pentadbiran, teknikal dan sebagainya yang popular dalam akhbar bahkan peluang menjadi seorang usahawa turut terbuka luas. Faktor-faktor semasa turut menyumbang berlambaknya penawaran menjadi usahawan. Selain itu melihat kepada manfaat bidang keusahawanan kepada negara tidak hairan lah jika ianya terus berkembang dari masa ke semasa. Hal ini kerana manfaatnya bukan terbahagi kepada sesekumpulan individu sahaja malahan segelinap masyarakat Malaysia. Sehubungan itu dapat kita perhatikan perkembangan keusahawanan di Malaysia. Suatu ketika dahulu bidang ini merupakan bidang yang dipilih sebagai kerajaya dan walaupun kepentingannya dilupa seketika pada waktu zaman berevolusi namun kini kesedaran umum akan kepentingan bidang keusahawanan membangkitkannya kembali.         

7.0 RUJUKAN
Chek Mat. (2000). Pengurusan Kerjaya. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
       Distributors Sdn. Bhd.
Haji Ismail bin Abd Karim. (1995). Usahawan express laluan usahawan cemerlang. Kota Bharu:        Al-Khafilah Enterprise.
Mohamed Sharif Mustaffa, & Roslee Ahmad. (2006). Bimbingan dan kerjaya (konsep dan     amalan kontemporari). Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Muhammad Ali Embi. (2001). Pendekatan pengurusan sumber manusia masa kini.  Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Yep Putih. (1985). Keusahawanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


                                                              
 



1 comment:

  1. Jika anda mempunyai masalah kewangan, maka sudah tiba masanya untuk anda tersenyum. Anda hanya perlu menghubungi Encik Benjamin dengan jumlah yang anda ingin pinjam dan tempoh pembayaran yang sesuai dengan anda dan anda akan mempunyai pinjaman anda dalam tempoh tiga hari bekerja. Saya hanya mendapat manfaat untuk keenam kali pinjaman sebanyak 700 ribu dolar untuk tempoh 180 bulan dengan kemungkinan membayar sebelum tarikh tamat tempoh. Encik Benjamin telah membantu saya dengan pinjaman.Membuat hubungan dengannya dan anda akan melihat bahawa dia adalah seorang yang sangat jujur dengan hati yang baik. E-melnya adalah lfdsloans@lemeridianfds.com dan nombor telefon WhatAppnya ialah + 1-989-394- 3740

    ReplyDelete