Sunday, November 28, 2010

CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK DALAM SESEBUAH ORGANISASI

-Sem April 10/11, Hubungan Manusia Dalam Pentadbiran.
-Disediakan oleh: mindss 
-Disediakan untuk:  Dr. Kalthum Haji Hassan

1.0  PENGENALAN
Kepemimpinan adalah merupakan satu topik yang diminati kerana ia menyentuh  kehidupan masyarakat dunia tanpa mengira budaya, sama ada dalam masyarakat  primitif atau sebaliknya. Ia juga diminati kerana kepemimpinan membawa kuasa, kedinamikan dan kejayaan individu dalam lapangan masing-masing. Kepemimpinan juga menjadi penting kerana kita boleh memilih sesiapa sahaja untuk dijadikan pemimpin tetapi kita tidak boleh memilih untuk tidak mempunyai pemimpin.
Seperti mana yang kita ketahui kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi pentadbirnya dalam erti kata lain yang memimpin. Seseorang pemimpin yang baik harus mempunyai ciri-ciri khusus tertentu dalam menjalankan peranannya sebaik mungkin serta menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mengelola ahli-ahli di bawah untuk mencapai matlamat organisasi. (Zainal Abidin Mohamad, 1998).    
Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. (Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997).
Selain itu, pemimpin juga membawa maksud seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu.
Seperti mana yang umum ketahui sejak dari awal kajian dibuat tentang sains pengurusan, terdapat beberapa pendekatan yang digariskan dalam membuat penilaian ke atas ciri-ciri pemimpin. Kepemimpinan menjadi penting kerana ia sering dikaitkan dengan keberkesanan dan kecekapan sesebuah organisasi termasuklah sekolah. Berasaskan premis inilah maka timbulnya slogan: "Pemimpinlah yang menjadikan organisasi itu berbeza dengan yang lain".
Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu iaitu yang pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. (Dr Robiah Sidin (1988).

2.0  CIRI-CIRI PERSONALITI YANG DIKAITKAN DENGAN SEORANG PEMIMPIN
Terdapat beberapa personaliti yang sering dikaitka dengan seorang pemimpin. Personaliti berikut ialah;

      Keyakinan kendiri
            Merujuk kepada sejauh manakah individu itu berasa selesa dengan pertimbangan, keupayaan dan kemahirannya. Individu yang tidak berkeyakinan tidak suka menanggung risiko dan berasa tidak selesa apabila terpaksa membuat keputusan. Pemimpin yang berkeyakinan lebih berjaya berbanding dengan pemimpin yang rendah keyakinan kendiri.
      Bertanggungjawab
            Individu yang bertanggungjawab cenderung melaksanakan kerjaya dengan penuh hati-hati dan bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sifat ini sering dikaitkan dengan kejayaan seseorang pemimpin.
      Penyesuaian
            Merujuk kepada ketahanan dan keupayaan emosi menghadapi tekanan, konflik, dan kekecewaan. Pemimpin yang berupaya mengharungi rintangan-rintangan ini adalah lebih berkesan mberbanding dengan pemimpin yang tidak boleh menyesuaikan diri dalam keadaan tertekan
      Suka bergaul/ramah
            Sifat ini juga disebutkan sebagai penting dalam kejayaan kepemimpinan kerana orang yang suka bergaul biasanya memperolehi banyak pengalaman dan mudah mempengaruhi orang-orang dalam organisasinya.
      Dapat diterima
            Merujuk kepada sifat amanah, mudah bekerjasama, mesra, dan sopan. Orang seperti ini mudah bekerjasama dengan orang lain. Manakala sifat orang yang sukar diterima, biasanya tidak sabar, muram, syak wasangka, dan sukar bekerjasama dengan orang lain.
      Berorientasi Pencapaian
            Individu yang berorientasi pencapaian berusaha melaksanakan tugas dengan jayanya kerana individu ini akan hanya berasa puas jika ia beroleh kejayaan. Individu seperti ini cenderung bekerja keras, bercita-cita tinggi dan suka persaingan. Manakala orang yang rendah orientasi pencapaian adalah tidak bercita-cita tinggi, suka dengan keadaan yang sedia ada, dan pasif serta usaha-usahanya adalah sedikit, kecuali jika ia dijanjikan ganjaran ekstrinsik.

3.0  CIRI-CIRI YANG BAIK MENGIKUT PADANGAN TOKOH TERKEMUKA
Mengikut pandangan tokoh Islam daripada Al Mawardi menyatakan bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai sifat seorang yang adil dalam memimpin pekerja di dalam organisasi tersebut. Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang berfikiran matang dan berani berijtihad dalam melakukan tugasnya. Seorang pemimpin juga menurut Al Mawardi perlulah berpancaindera yang sempurna. Ianya juga perlu mempunyai ilmu agama yang tinggi. Hal ini kerana dengan adanya ilmu agama yang tinggi secara tidak langsung dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada melakukan perkara yang mungkar dan seorang pemimpin juga perlu mempunyai anggota badan yang sempurna supaya boleh menguruskan pekerjaannya dengan sempurna. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala  menurut Imam Al-Ghazali menyatakan seorang pemimpin perlulah  seorang yang hidupnya dengan cara sederna tidak terlalu membazir dengan harta yang dimiliki olehnya. Seorang pemimpin juga perlulah melaksanakan kerja dengan tenang tanpa merungut dengan pekerjaan yang dilakukanna. Dia juga harus cuba memuaskan semua pihak jika hal itu tidak melanggar undang-undang dan peraturan. Seorang pemimpin juga menurut Imam Al-Ghazali perlulah mempunyai sifat kesedaran akan tanggungjawab besar jawatannya. Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang suka bersahabat dengan para ilmuan dan mendengar arahan para ilmuan tersebut. Hal ini keran supaya seorang pemimpin tersebut tidak melanggar undang-undang yang telah digariskan dalam Islam ataupun tidak terpesong daripada landasan agama Islam yang telah ditetapkan oleh syarak. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala menurut pandangan daripada tokoh barat iaitu Edwin Ghiselli menyatakan bahawa seorang pemimpin perlulah mempunyai sifat kesungguhan dan keyakinan kepada diri sendiri. Tanpa sifat kesungguhan dan keyakinan dalam diri sendiri boleh menyebabkan sesebuah organisasi tidak akan berjalan dengan baik. Begitu juga dengan kecerdasan yang terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah akan mengurangkan keberkesanan memimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, menurut pandangan tokoh Barat lainnya iaitu Ralph M. Stogdill, seorang pemimpin perlulah bersifat kecerdasan dan kemampuan juga bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal supaya seorang pemimpin tersebut dapat menguruskan organisasinya dengan baik. Seorang pemimpin juga perlu adanya sifat sosial iaitu dimana mempunyai daya kerjasama, kemampuan berkomunikasi dan berkebolehan untuk bermasyarakat. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, seorang pemimpin juga seharusnya mempunyai sifat keperibadian iaitu dimana berkebolehan, agresif dan berkeyakinan tinggi dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).

4.0  PERANAN PEMIMPIN
Pemimpin diamanahkan untuk menerajui organisasi bagi kepentingan semua ahli. Pemimpin dipilih dan dilantik kerana kelebihan-kelebihan tertentunya yang dikira dapat membantu organisasi, antaranya memainkan peranan-peranan penting mewakili organisasi. Oleh itu jelas seseorang pemimpin memainkan beberapa peranan secara serentak. Peranan-peranan berikut adalah seperti;  
4.1 Sumber rujukan: pemimpin berperanan sebagai pemberi maklumat dan idea kepada ahli-ahli apabila diperlukan. Oleh itu pemimpin harus luas pembacaannya, sentiasa mengikuti perkembangan, mempunyai hubungan yang luas, banyak pengalaman dan rajin belajar
4.2 Model: sebagai model atau contoh, pemimpin memperlihatkan sifat-sifat, tingkah laku dan kebolehan yang boleh diteladani.
4.3 Pendorong: pemimpin juga harus sentiasa meransang dan mendorong ahli-ahli dan rakan-rakan sepimpinannya untuk membangun diri, meningkatkan komitmen dan terus gigih memberikan khidmat serta subangan untuk kebaikan bersama.
4.4 Pembimbing: selaku pembimbing pemimpin turut mendidik, menyokong dan membolehkan ahli berperanan dengan aktif. Belajar memahami potensi dan bakat, minat dan kecenderungan, serta kekuatan dan kelemahan ahli dan membantu mereka untuk menjadi ahli yang aktif dan menyumbang      
4.5 Jurucakap/jurubicara: peranan ini menyerupai peranan “pegawai perhubungan awam”.  Iaitu berperanan sebagai jurucakap atau wakil organisasi dalam perhubungan dengan pihak-pihak luar.
4.6 Orang tengah: jika berlaku perbezaan pendapat, konflik antara ahli-ahli pemimpin berperanan sebagai orang tengah bagi mencari pendamaian. Bersikap adil dan tidak condong(bias) kepada mana-mana pihak. 
Disamping memainkan peranan-peranan seperti di atas, di dalam sesuatu keadaan tertentu pemimpin juga turut berperanan sebagai pakar (berdasarkan kemahiran dan pengelaman yang dimilikinya) guru, penyelaras, mentor, kaunselor, ideologi, penilai dan sebagainya.   

5.0  KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG HARUS DIMILIKI PEMIMPIN
Setiap pemimpin perlu mempunyai pengetahuan dan beberapa kemahiran asas, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tugasnya dalam sesebuah organisasi. Pengetahuan dan kemahiran yang dimaksudkan ialah pelbagai dan antaranya ialah;

1) Bekerja Dengan Orang. Boleh berhubung dan bekerja dengan orang, berbincang, mendengar   pandangan, merangsang ahli-ahli, menggalakkan ahli mengambil inisiatif dan menyerlahkan bakat dan potensi mereka.
2) Kebolehan Menganalisis. Kemampuan memahami dan menghuraikan sesuatu isu/persoalan dari pelbagai sudut serta merumusnya. Dapat berfikir dengan menggunakan berbagai-bagai teknik(kreatif/kritikal/lateral) 
3) Pengorganisasian/Penyusunan/Penggemblengan Tenaga. Memahami bagaimana organisasi beroperasi, cara-cara yang sesuai dan berkesan untuk menggerakkan tenaga-tenaga di dalam pertubuhan serta mendapatkan sokongan masyarakat.
4) Komunikasi. Dapat menyampaikan sesuatu denganbaik, berhujah dengan meyakinkan dan merangsang ahli.
5) Penggunaan Sumber. Tahu tentang kewujudan pelbagai sumber di dalam dan di sekitar organisas (individu, kumpulan,budaya,agama), sedar tentang pelbagai institusi dan pertubuhan di sekeliling dan dapat bekerjasama dengan mereka.
6)  Mesyuarat. Menguruskan mesyuarat dengan berkesan.
7)  Penulisan. Boleh menulis ucapan, kenyataan media, menyediakan cadangan dan laporan.
8) Kewangan. Tahu bagaimana mendapatkan wang yang diperlukan pertubuhan, merangka belanjawan dan menguruskan dana.
9) Kajian/Penyelidikan. Tahu bagaimana melakukan penyelidikan asas, faham kegunaan maklumat dan bagaimana mendapatkan maklumat yang dikehendaki.
10) Isu. Dapat mengenal pasti isu-isu penting dan dapat menilai potensi sesuatu isu bagi kepentingan organisasi.
11) Latihan. Tahu akan keperluanlatihan-latihan untuk organisasi dan dapat mengendalikan latihan.
12) Penggunaan Teknologi. Tahu menggunakan teknologi yang sesuai dan terkini bagi memudahkan kerja.
13) Alat-alat Komunikasi. Pandai menggunakan alat-alat komunikasi yang asas untuk pelbagai tugasan seperti internet, persidangan media, pembinaan kontrak dan lln. 
Walaupun kemahiran-kemahiran yang dinyatakan agak banyak, ini tidak bererti seseorang pemimpin itu harus menguasainya. Namun mereka harus berusaha menguasainya untuk kepentingan bersama terutamanya diri sendiri. Dalam pada itu pemimpin juga seharusnya berkemahiran mengangihkan sesuatu tugas, peranan dan bidang kerja tertentu kepada ahli-ahlinya.       

6.0  PENUTUP
Kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.
Walaupun kepimpinan boleh dipelajari, tapi tidak semua orang dapat menjadi pemimpin yang baik. Menjadi pemimpin yang baik memerlukan kesabaran, kecekalan, pembelajaran yang berterusan, sikap cintakan ilmu, penguasaan pelbagai kemahiran, disiplin diri yang tinggi, kesediaan untuk menerima teguran juga kritikan dan sebagainya. Natijahnya seorang pemimpin organisasi yang baik bukan sahaja bergantung kepada jawatan yang disandang tetapi lebih kepada keupayaannya mengendalikan peranan-peranan dalam organisasi dengan berkesan serta menguasai kemahiran-kemahiran yang dinyatakan dengan baik.

7.0  RUJUKAN
Aminudin Moh. Yusof (1990). Kepimpinan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
    Alias Mohamed. (1984). Kepimpinan, demokrasi dan tradisi. Kuala Lumpur: AMW Comunications Management.
Azizan Bahari. (2009). Menjadi pemimpin. Petaling Jaya: Qarya Sdn. Bhd.
Dr Robiah Sidin (1988).  Asas Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur:
         Dewan Bahasa & Putaka.
    Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997). Hubungan Nilai Kerja, Prestasi Kerja dan Kualiti Kehidupan Bekerja di Kalangan Pekerja Sektor Awam & Swasta. Jurnal Psikologi Manusia. Bil 11:97-114
      Mustafa Hj. Daud. (1996). Pemimpin Mengikut Pandangan Tokoh Barat, (Terjemahan),
        Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distibutors Sdn. Bhd.
 Zainal Abidin Mohamad. (1998). Pengurusan Strategik. Kuala Lumpur: Utusan
          Distributian and Publication.


6 comments:

  1. Artikelnya bagusss...
    Pemimpin memiliki peran yang sangat vital dalam organisasi. keberlangsungan hidup sebuah organisasi tergantung dari karakter pemimpinnya.
    Sekedar ingin berbagi aja, barangkali bisa menambah sedikit referensi mengenai karakteristik kepemimpinan yang dapat dijadikan teladan.
    Klik --> Makalah Peran Kepemimpinan dalam Kinerja Martha Tilaar

    ReplyDelete