Tuesday, November 30, 2010

PERKEMBANGAN BUDAYA KERJA MALAYSIA


MGH 3113
PENTADBIRAN PERSONALIA DALAM SEKTOR AWAM


PERKEMBANGAN BUDAYA KERJA MALAYSIA



DISEDIAKAN OLEH :
H M A H




DISEDIAKAN UNTUK :
PROF. MADYA DR. MUHAMAD ALI EMBI


PENGENALAN
Malaysia sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Perbezaan bangsa dan agama ini membawa kepada kewujudan budaya yang pelbagai. Dapat diperhatikan atau dibezakan sesuatu bangsa berdasarkan budaya yang diamalkan sehubungan itu juga adalah kerana setiap bangsa mengamalkan budaya dan tradisi tersendiri. Unsur tradisi yang diwariskan dari nenek moyang masing-masing masih kukuh dipertahankan. Terdapat pelbagai definisi budaya yang dikeluarkan, mengikut Ahmad Fazwi dan Abdul Rahman (1996), budaya ialah warisan sosial sesuatu masyarakat, sistem idea, nilai, kepercayaan, pengetahuan, norma dan adat yang dikongsi bersama oleh semua orang dalam masyarakat. Manakala Asma (1994), menyatakan budaya mempunyai satu set andaian, nilai, amalan serta simbol-simbolnya tersendiri yang mana telah menjadi kuasa penggerak dalam membantu membentuk tingkah laku pekerja serta cara tugas-tugas disempurnakan dalam organisasi. Ahli-ahli sosiologi Eshleman dan Cashion (1985), pula mendefinisikan budaya sebagai satu sistem idea, nilai, kepercayaan, pengetahuan, norma, adat dan teknologi yang dikongsi oleh semua orang dalam sesebuah masyarakat. Ringkasnya berdasarkan definisi-definisi yang dinyatakan budaya boleh dikatakan sebagai keseluruhan cara hidup manusia yang boleh diterima secara umum oleh sebuah masyarakat. Begitu juga halnya berkaitan dengan budaya kerja, secara tidak langsung ia berkait dengan unsur-unsur budaya yang diwariskan. Perbincangan budaya kerja lebih khusus dalam lingkungan budaya itu sendiri. Budaya kerja Malaysia menempuh beberapa peringkat untuk mencapai tahap budaya kerja hari ini. Perubahan demi perubahan dilakukan untuk memastikan kesesuaiannya dengan persekitaran.

BUDAYA KERJA ZAMAN TRADISIONAL
Dimulakan dengan perbincangan budaya kerja pada zaman tradisional. Salah satu ciri-ciri utama budaya kerja zaman ini ialah kepatuhan kepada pihak atasan oleh golongan bawahan. Iaitu kepatuhan golongan bawahan yang berbentuk melulu dengan memberi taat setia tanpa rasional kepada pihak atasan. Hal ini kerana wujudnya pembahagian masyarakat iaitu terdiri daripada dua golongan, golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Gullick (1978), menyatakan pembahagian ini merupakan satu unsur asas struktur politik dan sosial orang Melayu. Oleh kerana ia merupakan unsur asas, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi sistem nilai yang wujud pada zaman ini.                        
            Satu lagi konsep penting pada zaman ini yang menyebabkan golongan pemerintah atau pihak atasan bertahan dan berkuasa sehingga hari ini ialah konsep ‘daulat dan derhaka’. Konsep ini telah menampakkan perbezaan golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Umumnya daulat dianggap seperti satu lesen yang dimiliki oleh seseorang raja dan membolehkan ia menggunakan kuasa kepada rakyat yang diperintahnya. Perkataan daulat berasal daripada perkataan Arab, iaitu “daulah” yang bermaksud kerajaan atau negeri. Daulat juga dikaitkan dengan soal kesempurnaan, kebolehan, keistimewaan dan kuasa politik tertinggi seseorang sultan. Ia juga membawa erti kekuasaan dan kewibawaan seseorang sultan yang memerintah serta kebahagiaan kepada sultan yang memerintah. Manakala derhaka menurut kamus dewan edisi ketiga membawa maksud tidak taat atau khianat. Derhaka boleh diperlakukan kepada negara, raja dan manusia. Walaupun konsep ‘daulat dan derhaka’ asalnya timbul daripada satu kisah diraja, namun ia tetap membawa makna dan dijulang selamanya.                 
            Walaupun raja-raja Melayu dianggap bersikap autokratik dan menjalankan perintah sewenang-wenangnya pada zaman tradisional, namun dalam hal pentadbiran negara, mesyuwarah  (mesyuarat) adalah perkara yang sangat ditekankan. Raja tidak akan menjalankan tugas dengan sewenang-wenangnya secara bersendirian. Kebanyakkan keputusan adalah dibuat dengan mencapai kata sepakat melalui musyawarah antara raja, pembesar negeri dan juga waris negeri yang mempunyai kaitan rapat. Antara ahli musyawarah ialah raja, bendahara, penghulu bendahari syahbandar, temenggung, laksamana dan pegawai kanan lain serta kumpulan elit dalam pentadbiran negeri. Apa yang jelas dari segi perkembangan budaya kerja sejak zaman tradisional iaitu pemerintahan negeri-negeri Melayu , raja-raja seharusnya memainkan peranan yang penting terutamanya dalam mengendalikan semua hal pentadbiran negeri dengan kerjasama semua orang-orang kanan beliau.   
            Bentuk budaya kerja zaman tradisional bukan sahaja menunjukkan ketaatan rakyat kepada raja, malah kepada semua pembesar yang mempunyai kuasa melalui perlantikan oleh raja. Contohnya penghulu yang mentadbir sesebuah daerah turut mendapat restu dan ditaati rakyat. Keseluruhannya dapat disimpulkan bentuk budaya kerja zaman tradisional banyak memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh golongan bawahan. Walaupun terdapat beberapa halangan oleh pihak atasan terhadap golongan bawahan, namun dari segi budaya kerja yang positif sesuai dengan nilai hidup bermasyarakat pada zaman itu (Rohani, Mustapah & Muhammad Ali Emi, 2005). Patuh kepada pemerintah adalah nilai yang kekal sepanjang zaman, walaupun gelaran seseorang pemerintah itu dari sultan berubah kepada Presiden atau Perdana Menteri. Mengingkari sesuatu perintah tanpa sebab yang kukuh tetap merupakan satu jenayah atau kesalahan yang besar.

BUDAYA KERJA ZAMAN PENJAJAHAN
Malaysia telah dijajah oleh beberapa kuasa besar seperti Portugis, Belanda,, Inggeris, Siam dan Jepun selama 446 tahun bermula dari tahun 1511-1957. Tujuan serampang dua mata tidak lain dan tidak bukan adalah kerana faktor ekonomi dan faktor agama. Namun daripada semua kuasa besar di atas, penjajahan Inggeris adalah yang sangat memberi impak kepada negara. Sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu, Malaysia ialah sebuah negeri yang ‘simple’ dan tradisional. Namun Inggeris dengan kuasa mereka mula mengatur langkah. Bermula dari sini, sedikit demi sedikit budaya kerja zaman tradisional mula berubah. Perkenalan kepada istilah dan juga sistem pemerintahan baru Inggeris banyak mempengaruhi segalanya.
            Terdapat pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan oleh kolonial Inggeris, sesetengah pembaharuan dapat diterima dan sesetengahnya lagi tidak dapat diterima. Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah pembukaan negeri-negeri selat, negeri-negeri Melayu bersekutu, negeri-negeri Melayu tidak bersekutu, desentralisasi, Malayan Union, Persektuan Tanah Melayu 1948, konsep ‘Devide and rule’, Perjanjian Pangkor, Perjanjian Inggeris-Belanda dan sebagai. Semua perlaksanaan ini mempunyai tujuan dan arah tuju tertentu. Keterlibatan pihak Inggeris lebih jelas apabila mereka cuba mencampuri urusan pentadbiran negara dengan memperkenalkan sistem pentadbiran tersendiri iaitu Sistem Residen.
            Sistem Residen mula diperkenalkan di Perak pada tahun 1874 dan diikuti beberapa negeri Melayu lain. Mengikut Sistem Residen, British akan melantik residen dari kalangan mereka untuk menjadi penasihat sultan dalam semua urusan pentadbiran kecuali berkaitan agama Islam dan adapt istiadat orang Melayu. Perlaksanaan sistem ini menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar Melayu kehilangan kuasa politik mereka. Hal ini kerana mereka hanya menjadi lambang, sedangkn residen yang dilantik oleh British akan membuat segala keputusan berkaitan urusan pentadbiran. Dalam erti kata lain residen memerintah mengikut kehendaknya sendiri. Bermula dari sini kuasa British terlibat secara rasmi dalam perkhidmatan awam di Malaysia. British terus menerus memperkenal dan mengukuhkan polisi kolonial mereka.
            Meskipun begitu berikutan tentangan hebat seluruh penduduk Tanah Melayu dan beberapa kelemahannya, Sistem Residen telah digantikan dengan sistem pentdbiran baru di beberapa buah negeri Melayu yang dikuasai British. Walaupun wujud banyak pembaharuan dan perkembangan dalam pentadbiran awam, namun dari segi budaya tidak mencerminkan hasrat penjajah Inggeris untuk memajukan negeri jajahannya. Hal ini kerana penjajah hakikatnya hanya ingin mengaut keuntungan dan kekayaan negara yang dijajahnya. Bentuk budaya kerja pada masa ini hanya menumpukan perhatian kepada mengurus dan melaksanakan segala perintah serta undang-undang yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa. Sehubungan dengan itu peranan mereka dalam mempertingkatkan pembangunan dan kemudahan rakyat adalah minimum  (Rohani, Mustapah & Muhammad Ali Emi, 2005).                  

            Kesimpulannya budaya kerja pada zaman penjajahan banyak menampakkan pembaharuan yang diperkenalkan membawa kepada perubahan dari segi pentadbiran awam.

BUDAYA KERJA SELEPAS MERDEKA
Malaysia genap 31 ogos 2009, telah menyambut kemerdekaannya yang ke-52. Pelbagai perubahan telah berlaku dalam masa ini. Dari segi sosialnya, pemantapan ekonomi dan juga pembangunan yang pesat. Namun begitu berikutan faktor masa yang agak lama berada di dalam cengkaman penjajah, Malaysia kini masih mempunyai saki baki peninggalan penjajah dalam kehidupannya khususnya dalam pembudayaan kerja kita. Perkhidmatan awam negara masih terikut-ikut dengan tatacara kerja yang diamalkan oleh kakitangan awam semasa penjajahan. Selain itu kakitangan awam juga masih menghidupkan tradisi budaya kerja zaman tradisional iaitu memberi kepatuhan kepada pihak atasan dengan memberi mereka kuasa penuh membuat keputusan. Oleh itu perkhidmatan awam ketika ini boleh dilabel lembab, tidak bermaya dan tidak cekap.
            Sehubungan dengan hal yang demikian kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi membendung dan sekaligus memperbaiki mutu tahap perkhidmatan awam negara. Diantara langkah yang diambil ialah dengan menubuhkan beberapa jabatan dan juga menguatkuasakan dasar. Dan antara Jabatan yang sehingga kini menjalankan tugas ialah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan menerusinya tertubuh Dasar Ekonomi Baru (DEB).
            JPA ditubuhkan berobjektif menjadi egensi personal sektor awam yang berprestasi tinggi dalam menyediakan sumber tenaga manusia yang berupaya memberi perkhidmatan yang cemerlang melalui penggubalan dasar dan pengurusan sumber manusia. JPA mengikut sejarah telah lama ditubuhkan dan hanya diberi nafas baru dari masa ke masa agar bersesuaian dengan peredaran masa. Bermula dengan Malayan Establishment Office pada tahun 1934, kemudian berubah kepada Federal Establishment Office iaitu percantuman Malayan Establishment Office, Servise Branch of the Chief Secretary’s Office dan Establishment Division, Federal Treasury pada tahun 1954. Seterusnya tahun 1967 bertukar nama kepada Establishment Office of Malaysia dan akhir sekali pada ogos 1968 kepada Public Service Department atau Jabatan Perkhidmatan Awam.                   
Menjelang tahun 1971, DEB telah dilaksanakan. Merupakan satu program sosioekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato’Hussien. Dengan membawa tujuan serampang dua mata :
  • Mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan serta menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
  • Mempercepatkan proses penyusunan semula maysrakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Pembaharuan dan pembangunan dalam Perkhidmatan Awam turut dilakukan. Antaranya dengan menyatukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Kemajuan Pentadbiran menjadi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran. Tujuannya adalah untuk meletakkan pembaharuan dan pembangunan pentadbiran di bawah satu pengawasan. bagi menghadapi tuntutan dan pembaharuan yang perlu dilaksanakan dalam pentadbiran awam (Rohani, Mustapah & Muhammad Ali Emi, 2005).                    
Manakala INTAN ditubuhkan pada tahun 1972, membawa misi membangunkan sumber manusia sektor awam melalui latihan yang berkualiti. Dalam erti kata lain ia bertujuan meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pegawai dan kakitangan awam dalam merangka dasar dan melaksanakan program pembangunan dengan pemikiran serta sikap positif. Seterusnya dalam tahun 1977 untuk menggantikan Unit Kemajuan Pentadbiran (DAU), MAMPU telah ditubuhkan. Memainkan peranan sebagai agensi pusat permodenan pentadbiran dan tranformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam. Ringkasnya budaya kerja Malaysia selepas merdeka telah menunjukkan kebangkitan ke arah lebih baik dan bermulanya penyusunan yang lebih sistematik walaupun masih ada sisa-sisa budaya kerja dari penjajah.                        
                                             
BUDAYA KERJA MASA KINI
Walaupun perkhidmatan awam di Malaysia dikatakan yang terbaik dalam kalangan negara membangun namun ia masih kelihatan ketinggalan dalam beberapa faktor. Hal ini tidak lain tidak bukan berikutan keperluan meningkatkan taraf hidup, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan dunia yang ditunjangi oleh ledakan teknologi maklumat. Oleh hal yang demikian kerajaan dalam mengkehendaki pentadbiran juga kakitangan perkhidmatan awam mencapai tahap seiring dunia kini telah melaksanakan dasar dan beberapa program seperti berikut
i-                    Etika Perkhidmatan Awam
Telah dilancarkan pada tahun 1979, bertujuan :
  1. mengekal dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas
  2. memupuk tanggungjawab bersama, mengeratkan perhubungan antara kakitangan dan mewujudkan suasana yang sihat, cekap dalam perkhidmatan
  3. membentuk sikap dan pembawaan kakitngan kerajaan bersesuaian dengan Rukun Negara.

ii-                  Dasar Bersih, Cekap dan Amanah
Dilancarkan pada pertengahan april 1982. berobjektif untuk meningkatkan daya pengeluaran Negara dan mutu kerja melalui pengujudan dan satu etika kerja serta sikap berkhidmat yang baik.

iii-                Dasar Pandang ke Timur  
Juga dilancarkan pada tahun 1982. Iaitu bertujuan meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan berdasarkan pendekatan, pengalaman, ciri-ciri positif yang diamalkan oleh negara Jepun dan Korean atau negara-negara timur.

iv-                Kempen Kepimpinan Melalui Teladan
Kepimpinan melalui teladan telah dilancarkan pada tahun berikutnya iaitu pada 19 Mac 1983. Bertujuan untuk menanam dan memupuk sifat-sift kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi, dihayati dan diamalkan oleh segenap lapisan anggota perkhidmatan awam. Selain itu ia juga bertujuan mengubah sikap kakitangan awam untuk memperkukuhkan nilai-nilai bagi mempertingkatkan etika kerja.

v-                  Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam
Mula dilaksanakan pada tahun 1985. Tujuan perlaksanaannya adalah untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain menerusi sifat moral dalam agama Islam. Antara lain agar dapat menghapuskan sikap negatif kakitangan awam dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan serta menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.   

vi-                Budaya Kerja Cemerlang
Program gerakan budaya kerja cemerlang telah dilancarkan pada penghujung tahun 1989, iaitu pada 27 November 1989. Umumnya pembentukan Budaya Kerja Cemerlang bertujuan membina satu budaya kerja cemerlang dalam kalangan kakitangan awam. Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti kerja kakitangan awam serta dijadikan alat untuk mengukur atau menyukat produktiviti juga hasil kerja kakitangan sektor awam.
 
Ringkasnya budaya kerja Malaysia masa kini sudah menampakkan perubahan besar dari segi struktur pengurusannya. Pengenalan kepada Jabatan, Istitusi dan perlaksanaan dasar serta perangkaan program tertentu memberi impak tersendiri dalam membangunkan pentadbiran perkhidmatan awam.    
      
PENUTUP
Bermula pada zaman tradisional, budaya kerja ketika ini banyak mengikut atau mengadap tasi amalan tradisi masyarakat yang sedia ada. Contohnya berkaitan amalan setia masyarakat kepada golongan bangsawan, konsep ini turut mempengaruhi budaya kerja umumnya. Perubahan besar berlaku pada budaya kerja Malaysia apabila penjajah menakluki tanah Melayu. Kedatangan tidak diudang mereka membawa perubahan di seluruh ruang kehidupan masyarakat. Baik dari segi cara hidup, struktur ekonomi turut menampakkan perubahan besar. Budaya kerja kembali stabil dan memulakan era baru selepas tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Meskipun Malaysia telah merdeka namun sisa peninggalan penjajah tetap kekal tersemat dalam pentadbiran awam negara. Penguatkuasaan INTAN, MAMPU, DEB dan JPA membawa peranaan tersendiri untuk memantapkan sektor awam dalam segenap aspek. Pentadbiran perkhidmatan awam mula memperkenalkan corak pengurusan yang pelbagai bagi memantapkan lagi budaya kerja masa kini. Kesimpulannya perkembangan budaya kerja Malaysia dari zaman ke zaman membawa perubahan dan makna tertentu. Segalanya sangat bermakna kerana saling mempengaruhi.

RUJUKAN
Abdul Halim Ali. (1999). Ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan perkhidmatan
awam di alaf baru. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Nuraini Yusoff,  et al. (2007). Bahasa melayu untuk pengurusan. Sintok:
             Universiti Utara Malaysia.

Kerajaan Malaysia. (1991). Pembaharuan dan Kemajuan Dalam Perkhidmatan Awam.
Kuala Lumpur: Jabatan Percetan Negara.

Rozita Abdul Mutalib, Fariza Romli, Mokhtafizam Mokhtar, & Noor Farihah Mohd Nor.
(2008). Etika pentadbir awam. Sontik: Universiti Utara Malaysia.

Rohani Ab Ghani, Mustapah Daud, & Muhamad Ali Embi. (2005). Isu-isu budaya dalam
pembangunan sosial, Dinamika budaya kerja Malaysia (hlm 97-124). Sintok: Universiti Utara Malaysia.   

Kerajaan Malaysia. (1991, April 1). Pekeliling kemajuan pentadbiran awam
(bilangan 4 tahun 1991). Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.   http://www.mampu.gov.my/pdf/pkpa041991.pdf.
    
           

No comments:

Post a Comment