Sunday, December 26, 2010

ISLAM PENYELESAIAN UMMAH

(Nilai-nilai Murni Islam Satu Jalan Penyatuan)

Nilai-Nilai Dalam Islam
Islam merupakan ad-Din iaitu agama yang memperkenalkan cara hidup terbaik untuk diikuti dalam kehidupan seseorang manusia. Dengan adanya dua sumber rujukan utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar peraturan disediakan sebagai rujukan seluruh manusia bagi memudahkannya menjalani kehidupan harian. Selain itu apa yang lebih menarik ialah setiap perbuatan dan perlakuan umatNya sentiasa berhubung secara tidak langsung dengan Allah s.w.t, Pencipta Yang Maha Esa. Islam adalah sangat istimewa, unik dan mempunyai unsur kekuatan yang tersendiri. Islam merupakan satu-satunya agama yang dapat menyatukan ummah.   
Kita perkecilkan skop tajuk dengan membincangkan tajuk kecil iaitu Islam dapat menyelesaikan ummah dari sudut akhlak Islam atau nilai-nilai murni yang terkandung di dalamNya. Secara umum semua kepercayaan menyeru para penganutnya mengamalkan nilai-nilai murni dan menjalani kehidupan harian yang baik. Nilai-nilai seperti berkasih sayang, sabar, pemaaf, amanah, positif, bersyukur dan sebagainya amat membantu seseorang menjadi manusia hebat seterusnya membentuk ummah yang kuat dari pelbagai sudut. Namun begitu, persoalan yang akan diketengahkan di sini ialah bagaimana Islam boleh menyatukan ummah dengan nilai-nilai murni yang sangat ditekankan ini, berbanding agama atau kepercayaan-kepercayaan lain. Kita akan menyingkap tiga nilai murni utama yang dapat menyelesaikan ummah dari kaca mata Islam dan mengikut hukum kehidupan umumnya. Iaitu nilai pemaaf dan kasih sayang, nilai sabar dan syukur, dan nilai positif.           
 
Pemaaf dan Kasih Sayang
Setiap manusia normal hatinya lembut dan mahukan kebaikkan. Percaya atau tidak dalam diri kita penuh dengan sifat kemaafan serta kasih sayang. Kita bukanlah jenis manusia yang suka mencaci atau bergembira dengan kelemahan orang lain.Cuma hal ini semua akan dirasai dan difahami oleh mereka yang benar-benar berusaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hati manusia adalah sangat sensitif, sekiranya tidak dibimbing dengan betul ia mudah melencong mengikut godaan syaitan dan mula dipengaruhi sifat bongkak, sombong dan ego. Semua sifat buruk ini menjadikan kita ganas, berhati batu serta tidak peka kepada perasaan orang lain. Hal yang demikian akan menyebabkan perpecahan ummah sikit demi sedikit secara tidak langsung.
            Di sini kita memerlukan bimbingan dari Allah. Iaitu kita berdoa, berusaha, dan mendekatkan diri kepada-Nya. Berdoa dengan penuh keinsafan bahawa doa adalah permintaan dan bukan perintah kepada Allah (Jahaberdeen Mohamed Yunoos, 2006). Bertindak dengan penuh kemaafan serta kasih sayang adalah satu sikap yang datang dengan sendirinya kepada hati yang benar-benar sujud kepada Allah. Tanpa kita sedar, kita diingatkan oleh Allah setiap hari.              

Sabar dan Syukur
Menurut perspektif agama, sabar ialah keteguhan hati dalam menghadapi apa jua kesulitan dan bahaya yang menimpa. Menjadi lumrah kehidupan, setiap manusia pasti menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Walau sekecil mana dugaan semuanya pasti dirasai dan ditempuhi oleh setiap manusia yang hidup dimuka bumi ini. Sabar merupakan salah satu nilai murni yang mulia dan seharusnya dimiliki oleh setiap manusia, muslim terutamanya agar mencapai tingkat iman yang tinggi di sisi Allah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w :
            “sabar itu separuh daripada iman.”

Dengan kesabaran yang tinggi dalam diri seseorang, dia dapat memiliki hati yang teguh, diri yang yakin dan iman yang mantap ketika menghadapi apa jua cabaran dalam apa jua situasi. Dalam mengharungi roda kehidupan yang sentiasa berputar menurut ketentuan Allah, setiap individu dituntut memiliki sifat sabar. Tambahan pula jiwa manusia berdepan dengan dua dimensi kekuatan yang saling bertentangan iaitu dimensi roh rohani yang mendorong ke arah kebaikkan dan dimensi nafsu yang mengarah kepada maksiat serta kejahatan. Maka disini sifat sabar memainkan peranan bagi mengimbangi dua dimensi berkenaan (Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2008).    

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.”
(Surah Ibrahim, ayat 34)
Firman Allah s.w.t di atas menunjukkan betapa luas dan banyak nikmat yang diberikan kepada kita manusia, oleh sebab itu sekelian manusia diingatkan agar sentiasa rasa bersyukur dengan nikmat tidak terhingga ini. Nikmat makan, nikmat hidup, nikmat kaya, nikmat melihat, nikmat mendengar, nikmat berjalan dan nikmat lain-lain lagi. Syukur juga antara sifat utama yang perlu ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang bersyukur kepada Allah maka dia mendapat ganjaran istimewa daripada Allah. Begitu pula sebaliknya, jika kita tidak bersyukur pasti menerima balasan yang pedih daripada Allah. Contohnya apabila kita mendapat nikmat kekayaan, Allah s.w.t menyeru kita bersedekah, membayar zakat, memberi sumbangan kebajikan dan kegunaan lain melalui saluran yang betul agar nikmat itu tidak disia-siakan. Namun apabila ada yang menyalahgunakan nikmat kekayaan dengan berjudi, memakan riba dan lain-lain perkara merosakkan. Maka akibatnya kelak memusnahkan diri sendiri dan orang disekeliling.           
 
Nilai Positif
Satu lagi nilai yang menjadi perhiasan diri dan bentang menjamin penyelesaian ummah ialah berfikiran serta bertindak positif. Positif umumnya bermaksud tindakan atau amalan yang baik. Betapa pentingnya bersikap positif adalah apabila dikatakan hala tuju seseorang bergantung padanya. Razzi Armansur dalam bukunya Hidup Untuk Menang, menyatakan apa yang disangkan itu selalunya terjadi. Ini kerana, selain prasangka buruk dihantar ke otak untuk diproses, secara tidak langsung ia juga merupakan doa di dalam senyap. Semua orang tidak mahu suatu yang buruk tetapi tidak sedar selalu diminta dan didoakan. Oleh itu, Islam menyuruh umatnya berprasangka baik.
            Begitu juga dengan Imran Jabar dalam bukunya Kunci Kejayaan Napolen Hill. beliau menegaskan sikap mental yang positif adalah sikap mental yang betul dalam sebarang situasi yang dihadapi. Biasanya ia terdiri daripada ciri-ciri positif seperti percaya, integriti, harapan, sikap optimis, berani, murah hati, toleransi, bijaksana, baik hati dan akal budi yang baik. Tengok sendiri dalam kelompok masyarakat kita, mereka yang bersifat positif adalah individu yang selalunya menjadi pakar rujukan, mendapat kepercayaan dan diberi lebih tanggungjawab untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini kerana mereka bijak dan adil dalam keputusannya. Ringkasnya sifat positif amat penting dalam diri seseorang, kerana terpahatnya sifat ini dalam diri walau dalam keadaan susah atau senang kita sentiasa dapat menyesuaikan diri dan menerima segalanya dengan baik.               

Penutup
Natijahnya apabila sifat-sifat atau nilai-nilai ini diterapkan, seseorang bagaikan pemandu yang tahu haluan atau destinasinya jesteru mengikut peraturan yang ditetapkan disepanjang jalan seterusnya akan sampai dengan selamat ke tempat yang dituju. Begitu juga dengan para penumpang, sama-sama akan selamat. Seperti mana ummah, kita umpamakannya seperti pemandu berkenaan.
Unmat Islam sewajibnya meletakkan Islam di tempat yang selayaknya sebagai teras dan tonggak dalam seluruh aspek kehidupan harian. Hal ini kerana dengan mengikutinya dijamin kehidupan seseorang muslim akan selamat. Mendapat kebahagian di dunia dan juga akhirat. Setiap perbuatan muslim akan dinilai, baik perbuatannya akan mendapat ganjaran pahala begitu pula sebaliknya. Orang yang tidak faham akan Islam dengan mendalam selalu menyatakan Islam agama yang mengongkong. Ini salah sama sekali, Islam bukan mengongkong tetapi sebenarrnya merupakan salah satu cara Allah s.w.t menununjukkan kasih sayang-Nya. Yang demikian kerana Islam sentiasa hendak memastikan manusia berada dalam landasan yang betul, maka Ia menunjukkan caranya.

Rujukan
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. (2008). Apa itu Islam. Selangor: PTS Publication
& Distributors Sdn. Bhd.

Jahaberdeen Mohamed Yunoos. (2006). Islam antara isi dan kuku. Selangor:
Thinker’s Library Sdn. Bhd.

Nuraini Yusoff  et al. (2007). Bahasa melayu untuk pengurusan. Sintok:
             Universiti Utara Malaysia.

 Nasrudin At-Tantawi. (2002, Januari 31). Pengertian tarbiah.

Abdullah Sudin Abd Rahman. (2010, Disember 2). Meneruskan kerja dakwah
dan terbiyah. http://www.haluan.org.my/v3/index.php/muhasabah-meneruskan-kerja-dakwah-dan-tarbiah.html

sem okt 10/11
pengurusan perbandingan
haji amir hamzah abdul

Tuesday, November 30, 2010

PERKEMBANGAN BUDAYA KERJA MALAYSIA


MGH 3113
PENTADBIRAN PERSONALIA DALAM SEKTOR AWAM


PERKEMBANGAN BUDAYA KERJA MALAYSIA



DISEDIAKAN OLEH :
H M A H




DISEDIAKAN UNTUK :
PROF. MADYA DR. MUHAMAD ALI EMBI


PENGENALAN
Malaysia sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Perbezaan bangsa dan agama ini membawa kepada kewujudan budaya yang pelbagai. Dapat diperhatikan atau dibezakan sesuatu bangsa berdasarkan budaya yang diamalkan sehubungan itu juga adalah kerana setiap bangsa mengamalkan budaya dan tradisi tersendiri. Unsur tradisi yang diwariskan dari nenek moyang masing-masing masih kukuh dipertahankan. Terdapat pelbagai definisi budaya yang dikeluarkan, mengikut Ahmad Fazwi dan Abdul Rahman (1996), budaya ialah warisan sosial sesuatu masyarakat, sistem idea, nilai, kepercayaan, pengetahuan, norma dan adat yang dikongsi bersama oleh semua orang dalam masyarakat. Manakala Asma (1994), menyatakan budaya mempunyai satu set andaian, nilai, amalan serta simbol-simbolnya tersendiri yang mana telah menjadi kuasa penggerak dalam membantu membentuk tingkah laku pekerja serta cara tugas-tugas disempurnakan dalam organisasi. Ahli-ahli sosiologi Eshleman dan Cashion (1985), pula mendefinisikan budaya sebagai satu sistem idea, nilai, kepercayaan, pengetahuan, norma, adat dan teknologi yang dikongsi oleh semua orang dalam sesebuah masyarakat. Ringkasnya berdasarkan definisi-definisi yang dinyatakan budaya boleh dikatakan sebagai keseluruhan cara hidup manusia yang boleh diterima secara umum oleh sebuah masyarakat. Begitu juga halnya berkaitan dengan budaya kerja, secara tidak langsung ia berkait dengan unsur-unsur budaya yang diwariskan. Perbincangan budaya kerja lebih khusus dalam lingkungan budaya itu sendiri. Budaya kerja Malaysia menempuh beberapa peringkat untuk mencapai tahap budaya kerja hari ini. Perubahan demi perubahan dilakukan untuk memastikan kesesuaiannya dengan persekitaran.

BUDAYA KERJA ZAMAN TRADISIONAL
Dimulakan dengan perbincangan budaya kerja pada zaman tradisional. Salah satu ciri-ciri utama budaya kerja zaman ini ialah kepatuhan kepada pihak atasan oleh golongan bawahan. Iaitu kepatuhan golongan bawahan yang berbentuk melulu dengan memberi taat setia tanpa rasional kepada pihak atasan. Hal ini kerana wujudnya pembahagian masyarakat iaitu terdiri daripada dua golongan, golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Gullick (1978), menyatakan pembahagian ini merupakan satu unsur asas struktur politik dan sosial orang Melayu. Oleh kerana ia merupakan unsur asas, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi sistem nilai yang wujud pada zaman ini.                        
            Satu lagi konsep penting pada zaman ini yang menyebabkan golongan pemerintah atau pihak atasan bertahan dan berkuasa sehingga hari ini ialah konsep ‘daulat dan derhaka’. Konsep ini telah menampakkan perbezaan golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Umumnya daulat dianggap seperti satu lesen yang dimiliki oleh seseorang raja dan membolehkan ia menggunakan kuasa kepada rakyat yang diperintahnya. Perkataan daulat berasal daripada perkataan Arab, iaitu “daulah” yang bermaksud kerajaan atau negeri. Daulat juga dikaitkan dengan soal kesempurnaan, kebolehan, keistimewaan dan kuasa politik tertinggi seseorang sultan. Ia juga membawa erti kekuasaan dan kewibawaan seseorang sultan yang memerintah serta kebahagiaan kepada sultan yang memerintah. Manakala derhaka menurut kamus dewan edisi ketiga membawa maksud tidak taat atau khianat. Derhaka boleh diperlakukan kepada negara, raja dan manusia. Walaupun konsep ‘daulat dan derhaka’ asalnya timbul daripada satu kisah diraja, namun ia tetap membawa makna dan dijulang selamanya.                 
            Walaupun raja-raja Melayu dianggap bersikap autokratik dan menjalankan perintah sewenang-wenangnya pada zaman tradisional, namun dalam hal pentadbiran negara, mesyuwarah  (mesyuarat) adalah perkara yang sangat ditekankan. Raja tidak akan menjalankan tugas dengan sewenang-wenangnya secara bersendirian. Kebanyakkan keputusan adalah dibuat dengan mencapai kata sepakat melalui musyawarah antara raja, pembesar negeri dan juga waris negeri yang mempunyai kaitan rapat. Antara ahli musyawarah ialah raja, bendahara, penghulu bendahari syahbandar, temenggung, laksamana dan pegawai kanan lain serta kumpulan elit dalam pentadbiran negeri. Apa yang jelas dari segi perkembangan budaya kerja sejak zaman tradisional iaitu pemerintahan negeri-negeri Melayu , raja-raja seharusnya memainkan peranan yang penting terutamanya dalam mengendalikan semua hal pentadbiran negeri dengan kerjasama semua orang-orang kanan beliau.   
            Bentuk budaya kerja zaman tradisional bukan sahaja menunjukkan ketaatan rakyat kepada raja, malah kepada semua pembesar yang mempunyai kuasa melalui perlantikan oleh raja. Contohnya penghulu yang mentadbir sesebuah daerah turut mendapat restu dan ditaati rakyat. Keseluruhannya dapat disimpulkan bentuk budaya kerja zaman tradisional banyak memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh golongan bawahan. Walaupun terdapat beberapa halangan oleh pihak atasan terhadap golongan bawahan, namun dari segi budaya kerja yang positif sesuai dengan nilai hidup bermasyarakat pada zaman itu (Rohani, Mustapah & Muhammad Ali Emi, 2005). Patuh kepada pemerintah adalah nilai yang kekal sepanjang zaman, walaupun gelaran seseorang pemerintah itu dari sultan berubah kepada Presiden atau Perdana Menteri. Mengingkari sesuatu perintah tanpa sebab yang kukuh tetap merupakan satu jenayah atau kesalahan yang besar.

BUDAYA KERJA ZAMAN PENJAJAHAN
Malaysia telah dijajah oleh beberapa kuasa besar seperti Portugis, Belanda,, Inggeris, Siam dan Jepun selama 446 tahun bermula dari tahun 1511-1957. Tujuan serampang dua mata tidak lain dan tidak bukan adalah kerana faktor ekonomi dan faktor agama. Namun daripada semua kuasa besar di atas, penjajahan Inggeris adalah yang sangat memberi impak kepada negara. Sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu, Malaysia ialah sebuah negeri yang ‘simple’ dan tradisional. Namun Inggeris dengan kuasa mereka mula mengatur langkah. Bermula dari sini, sedikit demi sedikit budaya kerja zaman tradisional mula berubah. Perkenalan kepada istilah dan juga sistem pemerintahan baru Inggeris banyak mempengaruhi segalanya.
            Terdapat pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan oleh kolonial Inggeris, sesetengah pembaharuan dapat diterima dan sesetengahnya lagi tidak dapat diterima. Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah pembukaan negeri-negeri selat, negeri-negeri Melayu bersekutu, negeri-negeri Melayu tidak bersekutu, desentralisasi, Malayan Union, Persektuan Tanah Melayu 1948, konsep ‘Devide and rule’, Perjanjian Pangkor, Perjanjian Inggeris-Belanda dan sebagai. Semua perlaksanaan ini mempunyai tujuan dan arah tuju tertentu. Keterlibatan pihak Inggeris lebih jelas apabila mereka cuba mencampuri urusan pentadbiran negara dengan memperkenalkan sistem pentadbiran tersendiri iaitu Sistem Residen.
            Sistem Residen mula diperkenalkan di Perak pada tahun 1874 dan diikuti beberapa negeri Melayu lain. Mengikut Sistem Residen, British akan melantik residen dari kalangan mereka untuk menjadi penasihat sultan dalam semua urusan pentadbiran kecuali berkaitan agama Islam dan adapt istiadat orang Melayu. Perlaksanaan sistem ini menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar Melayu kehilangan kuasa politik mereka. Hal ini kerana mereka hanya menjadi lambang, sedangkn residen yang dilantik oleh British akan membuat segala keputusan berkaitan urusan pentadbiran. Dalam erti kata lain residen memerintah mengikut kehendaknya sendiri. Bermula dari sini kuasa British terlibat secara rasmi dalam perkhidmatan awam di Malaysia. British terus menerus memperkenal dan mengukuhkan polisi kolonial mereka.
            Meskipun begitu berikutan tentangan hebat seluruh penduduk Tanah Melayu dan beberapa kelemahannya, Sistem Residen telah digantikan dengan sistem pentdbiran baru di beberapa buah negeri Melayu yang dikuasai British. Walaupun wujud banyak pembaharuan dan perkembangan dalam pentadbiran awam, namun dari segi budaya tidak mencerminkan hasrat penjajah Inggeris untuk memajukan negeri jajahannya. Hal ini kerana penjajah hakikatnya hanya ingin mengaut keuntungan dan kekayaan negara yang dijajahnya. Bentuk budaya kerja pada masa ini hanya menumpukan perhatian kepada mengurus dan melaksanakan segala perintah serta undang-undang yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa. Sehubungan dengan itu peranan mereka dalam mempertingkatkan pembangunan dan kemudahan rakyat adalah minimum  (Rohani, Mustapah & Muhammad Ali Emi, 2005).                  

            Kesimpulannya budaya kerja pada zaman penjajahan banyak menampakkan pembaharuan yang diperkenalkan membawa kepada perubahan dari segi pentadbiran awam.

BUDAYA KERJA SELEPAS MERDEKA
Malaysia genap 31 ogos 2009, telah menyambut kemerdekaannya yang ke-52. Pelbagai perubahan telah berlaku dalam masa ini. Dari segi sosialnya, pemantapan ekonomi dan juga pembangunan yang pesat. Namun begitu berikutan faktor masa yang agak lama berada di dalam cengkaman penjajah, Malaysia kini masih mempunyai saki baki peninggalan penjajah dalam kehidupannya khususnya dalam pembudayaan kerja kita. Perkhidmatan awam negara masih terikut-ikut dengan tatacara kerja yang diamalkan oleh kakitangan awam semasa penjajahan. Selain itu kakitangan awam juga masih menghidupkan tradisi budaya kerja zaman tradisional iaitu memberi kepatuhan kepada pihak atasan dengan memberi mereka kuasa penuh membuat keputusan. Oleh itu perkhidmatan awam ketika ini boleh dilabel lembab, tidak bermaya dan tidak cekap.
            Sehubungan dengan hal yang demikian kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi membendung dan sekaligus memperbaiki mutu tahap perkhidmatan awam negara. Diantara langkah yang diambil ialah dengan menubuhkan beberapa jabatan dan juga menguatkuasakan dasar. Dan antara Jabatan yang sehingga kini menjalankan tugas ialah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan menerusinya tertubuh Dasar Ekonomi Baru (DEB).
            JPA ditubuhkan berobjektif menjadi egensi personal sektor awam yang berprestasi tinggi dalam menyediakan sumber tenaga manusia yang berupaya memberi perkhidmatan yang cemerlang melalui penggubalan dasar dan pengurusan sumber manusia. JPA mengikut sejarah telah lama ditubuhkan dan hanya diberi nafas baru dari masa ke masa agar bersesuaian dengan peredaran masa. Bermula dengan Malayan Establishment Office pada tahun 1934, kemudian berubah kepada Federal Establishment Office iaitu percantuman Malayan Establishment Office, Servise Branch of the Chief Secretary’s Office dan Establishment Division, Federal Treasury pada tahun 1954. Seterusnya tahun 1967 bertukar nama kepada Establishment Office of Malaysia dan akhir sekali pada ogos 1968 kepada Public Service Department atau Jabatan Perkhidmatan Awam.                   
Menjelang tahun 1971, DEB telah dilaksanakan. Merupakan satu program sosioekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato’Hussien. Dengan membawa tujuan serampang dua mata :
  • Mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan serta menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
  • Mempercepatkan proses penyusunan semula maysrakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Pembaharuan dan pembangunan dalam Perkhidmatan Awam turut dilakukan. Antaranya dengan menyatukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Kemajuan Pentadbiran menjadi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran. Tujuannya adalah untuk meletakkan pembaharuan dan pembangunan pentadbiran di bawah satu pengawasan. bagi menghadapi tuntutan dan pembaharuan yang perlu dilaksanakan dalam pentadbiran awam (Rohani, Mustapah & Muhammad Ali Emi, 2005).                    
Manakala INTAN ditubuhkan pada tahun 1972, membawa misi membangunkan sumber manusia sektor awam melalui latihan yang berkualiti. Dalam erti kata lain ia bertujuan meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pegawai dan kakitangan awam dalam merangka dasar dan melaksanakan program pembangunan dengan pemikiran serta sikap positif. Seterusnya dalam tahun 1977 untuk menggantikan Unit Kemajuan Pentadbiran (DAU), MAMPU telah ditubuhkan. Memainkan peranan sebagai agensi pusat permodenan pentadbiran dan tranformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam. Ringkasnya budaya kerja Malaysia selepas merdeka telah menunjukkan kebangkitan ke arah lebih baik dan bermulanya penyusunan yang lebih sistematik walaupun masih ada sisa-sisa budaya kerja dari penjajah.                        
                                             
BUDAYA KERJA MASA KINI
Walaupun perkhidmatan awam di Malaysia dikatakan yang terbaik dalam kalangan negara membangun namun ia masih kelihatan ketinggalan dalam beberapa faktor. Hal ini tidak lain tidak bukan berikutan keperluan meningkatkan taraf hidup, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan dunia yang ditunjangi oleh ledakan teknologi maklumat. Oleh hal yang demikian kerajaan dalam mengkehendaki pentadbiran juga kakitangan perkhidmatan awam mencapai tahap seiring dunia kini telah melaksanakan dasar dan beberapa program seperti berikut
i-                    Etika Perkhidmatan Awam
Telah dilancarkan pada tahun 1979, bertujuan :
  1. mengekal dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas
  2. memupuk tanggungjawab bersama, mengeratkan perhubungan antara kakitangan dan mewujudkan suasana yang sihat, cekap dalam perkhidmatan
  3. membentuk sikap dan pembawaan kakitngan kerajaan bersesuaian dengan Rukun Negara.

ii-                  Dasar Bersih, Cekap dan Amanah
Dilancarkan pada pertengahan april 1982. berobjektif untuk meningkatkan daya pengeluaran Negara dan mutu kerja melalui pengujudan dan satu etika kerja serta sikap berkhidmat yang baik.

iii-                Dasar Pandang ke Timur  
Juga dilancarkan pada tahun 1982. Iaitu bertujuan meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan berdasarkan pendekatan, pengalaman, ciri-ciri positif yang diamalkan oleh negara Jepun dan Korean atau negara-negara timur.

iv-                Kempen Kepimpinan Melalui Teladan
Kepimpinan melalui teladan telah dilancarkan pada tahun berikutnya iaitu pada 19 Mac 1983. Bertujuan untuk menanam dan memupuk sifat-sift kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi, dihayati dan diamalkan oleh segenap lapisan anggota perkhidmatan awam. Selain itu ia juga bertujuan mengubah sikap kakitangan awam untuk memperkukuhkan nilai-nilai bagi mempertingkatkan etika kerja.

v-                  Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam
Mula dilaksanakan pada tahun 1985. Tujuan perlaksanaannya adalah untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain menerusi sifat moral dalam agama Islam. Antara lain agar dapat menghapuskan sikap negatif kakitangan awam dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan serta menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.   

vi-                Budaya Kerja Cemerlang
Program gerakan budaya kerja cemerlang telah dilancarkan pada penghujung tahun 1989, iaitu pada 27 November 1989. Umumnya pembentukan Budaya Kerja Cemerlang bertujuan membina satu budaya kerja cemerlang dalam kalangan kakitangan awam. Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti kerja kakitangan awam serta dijadikan alat untuk mengukur atau menyukat produktiviti juga hasil kerja kakitangan sektor awam.
 
Ringkasnya budaya kerja Malaysia masa kini sudah menampakkan perubahan besar dari segi struktur pengurusannya. Pengenalan kepada Jabatan, Istitusi dan perlaksanaan dasar serta perangkaan program tertentu memberi impak tersendiri dalam membangunkan pentadbiran perkhidmatan awam.    
      
PENUTUP
Bermula pada zaman tradisional, budaya kerja ketika ini banyak mengikut atau mengadap tasi amalan tradisi masyarakat yang sedia ada. Contohnya berkaitan amalan setia masyarakat kepada golongan bangsawan, konsep ini turut mempengaruhi budaya kerja umumnya. Perubahan besar berlaku pada budaya kerja Malaysia apabila penjajah menakluki tanah Melayu. Kedatangan tidak diudang mereka membawa perubahan di seluruh ruang kehidupan masyarakat. Baik dari segi cara hidup, struktur ekonomi turut menampakkan perubahan besar. Budaya kerja kembali stabil dan memulakan era baru selepas tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Meskipun Malaysia telah merdeka namun sisa peninggalan penjajah tetap kekal tersemat dalam pentadbiran awam negara. Penguatkuasaan INTAN, MAMPU, DEB dan JPA membawa peranaan tersendiri untuk memantapkan sektor awam dalam segenap aspek. Pentadbiran perkhidmatan awam mula memperkenalkan corak pengurusan yang pelbagai bagi memantapkan lagi budaya kerja masa kini. Kesimpulannya perkembangan budaya kerja Malaysia dari zaman ke zaman membawa perubahan dan makna tertentu. Segalanya sangat bermakna kerana saling mempengaruhi.

RUJUKAN
Abdul Halim Ali. (1999). Ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan perkhidmatan
awam di alaf baru. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Nuraini Yusoff,  et al. (2007). Bahasa melayu untuk pengurusan. Sintok:
             Universiti Utara Malaysia.

Kerajaan Malaysia. (1991). Pembaharuan dan Kemajuan Dalam Perkhidmatan Awam.
Kuala Lumpur: Jabatan Percetan Negara.

Rozita Abdul Mutalib, Fariza Romli, Mokhtafizam Mokhtar, & Noor Farihah Mohd Nor.
(2008). Etika pentadbir awam. Sontik: Universiti Utara Malaysia.

Rohani Ab Ghani, Mustapah Daud, & Muhamad Ali Embi. (2005). Isu-isu budaya dalam
pembangunan sosial, Dinamika budaya kerja Malaysia (hlm 97-124). Sintok: Universiti Utara Malaysia.   

Kerajaan Malaysia. (1991, April 1). Pekeliling kemajuan pentadbiran awam
(bilangan 4 tahun 1991). Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.   http://www.mampu.gov.my/pdf/pkpa041991.pdf.
    
           

SISTEM PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN TEMPATAN

1.0 PENGENALAN
Setiap Negara mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri. Begitu juga dengan Malaysia. Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran demokrasi persekutuan. Iaitu mengklasifikasikan kerajaan kepada tiga peringkat, kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Dalam konteks ini akan diketengahkan berkaitan kerajaan tempatan. Kerajaan tempatan walaupun agak kecil peruntukannya dalam sesebuah negara namun tetap mempunyai ciri-ciri serta peranan tertentu untuk disumbangkan. Umunya kerajaan tempatan wujud di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak apabila terdapat badan atau pejabat-pejabat majlis perbandaran,majlis daerah dan majlis bandaraya. Badan-badan tersebut berkuasa mentadbirkan satu-satu wilayah atau kawasan yang sudah ditetapkan termasuk mentadbir penduduknya. Lebih jelas dapat diperhatikan melalui takrifan yang dinyatakan oleh Badan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu kerajaan tempatan merupakan suatu bahagian kecil politik sebuah Negara atau (dalam konteks sistem persekutuan) negeri yang diwujudkan di sisi undang-undang dan mengawal kebanyakan hal-hal tempatan termasuk kuasa dan mengenakan cukai atau mengarah tenaga kerja untuk tujuan tertentu. Badan yang memerintah entiti ini dipilih atau dilantik daripada orang tempatan. Ringkasnya kerajaan tempatan adalah satu unit atau institusi pemerintahan yang berkuasa di peringkat bawahan dalam sesuatu tempat atau daerah kecil dengan kuasa tertentu dan melaskanakan tugas-tugas untuk kebajikan dan kesentosaan masyarakat di kawasan tersebut. Dan di Malaysia unit-unit kerajaan tempatan yang terlibat untuk melaksanakan tugas-tugas ini ialah Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.
            Kerajaan tempatan di Malaysia mempunyai fungsi tersendiri dalam mengekalkan kebajikan dan kesentosaan masyarakat setempat jesteru itu kerajaan tempatan di Malaysia dibenarkan mendapat kewangan dari beberapa sumber sebagai hasil pendapatan seperti terdapat dalam Akta 171. Sumber-sumber tersebut adalah sama bagi majlis daerah dan majlis perbandaraan atau majlis bandaraya. Dalam perbincangan seterusnya akan kita singgap perjalanan pentadbiran kewangan kerajaan tempatan dengan lebih terperinci.

2.0 PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN TEMPATAN  
Kewujudan kerajaan tempatan antara lain bermatlamat memberi perkhitmatan yang cekap dan berkesan kepada orang ramai terutamanya masyarakat setempat. Bagi mencapai hasrat ini sistem pentadbiran kewangan yang cekap haruslah diberi penekanan. Pentadbiran kewangan kerajaan tempatan adalah tidak berkait dengan politik ini kerana pendekatan teknikal iaitu menelitikan persoalan-persoalan tentang kuasa kewangan, sumber-sumber hasil, prosedur dan proses pentadbiran belanjawan seperti perakaunan, pelaporan, audit, pengurusan hasil dan sebagainya adalah digunakan dalam membincangkan perjalanan kewangan penguasa tempatan.
            Pentadbiran kewangan kerajaan tempatan adalah berbeza dan merumitkan. Pentadbiran kewangan merujuk kepada kegiatan menentukan, mengenakan, memungut, menyimpan, membelanjakan dan mengakaunkan hasil yang diperuntukan kepada kerajaan tempatan di bawah Akta Kerajaan Temapatan (1976) dan juga yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Kewangan kerajaan tempatan dikatakan berbeza kerana diperuntukan sumber cukai yang berlainan daripada yang dikenakan oleh kerajaan lain. Sebagai peringkat kerajaan yang ketiga ia mesti menjalin hubungan yang baik dan mempertimbangkan kehendak kerajaan negeri dan persekutuan dalam segala tindakan dan keputusan kewangannya. Aspek kewangan juga boleh ditafsirkan sebagai meliputi kegiatan penilaian harta kerana cukai taksiran merupakan hasil yang paling penting kepada penguasa tempatan iaitu mereka yang berkuasa mentadbir setempat dan mempunyai kuasa undang-undang atau berkanun untuk menjalankan kewajipan dan tugasnya.  
            Kita singgap sedikit penyusunan semula pentadbiran kerajaan tempatan yang bermula pada tahun 1973 setelah Akta kerajaan Tempatan (peruntukan sementara) 1973 diluluskan. Walaupun terdapat banyak objektif dalam merancang dan melaksanakan program penyusunan semula, namun objektif kewangan adalah salah satu daripada matlamat penting. Ini disebabkan proses membina sistem kerajaan tempatan yang teguh, dinamik dan ‘viable’ adalah bergantung pada adanya aliran kewangan mencukupi dan stabil. Di samping itu semua penguasa tempatan yang disusun semula akan diberikan taraf autonomi  kewangan. Dengan demikian kerajaan tempatan akan dapat berfungsi sebagai satu unit yang diiktiraf sebagai bebas dari segi undang-undang untuk mengendalikan hal-hal kewangannya tanpa banyak halangan. Ringkasnya seperti dinyatakan sebelum ini pentadbiran kewangan kerajaan tempatan amat mempengaruhi sturktur kejayaan kerajaan tempatan. Dalam perbincangan seterusnya akan diterangkan proses pentadbiran kewangan kerajaan tempatan. Bermula dengan meneliti sumber-sumber hasil kewangan untuk kerajaan tempatan dan seterusnya belanjawan dan perbelanjaan serta langkah-langkah untuk memperkemaskan pengurusan kewangan kerajaan tempatan.

3.0 SUMBER-SUMBER KEWANGAN KERAJAAN TEMPATAN
 Kerajaan tempatan dibenarkan mendapat sumber-sumber hasil yang diperuntukan seperti dinyatakan dalam seksyen 39, Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171) dan perkara 156 dalam Perlembagaan Persekutuan. Umumnya punca hasil kerajaan tempatan adalah daripada cukai harta (taksiran atau kadaran), sumbangan membantu taksiran, bayararn untuk lesen,sewa, bayaran perkhidmatan, pulangan daripada pelaburan, faedah dan bantuan kerajaan negeri dan persekutuan. Namun begitu penguasa tempatan lebih bergantung pada cukai harta, bayaran lesen, geran iaitu bantuan kerajaan negeri dan persekutuan dan sumbangan membantu kadar serta bayaran perkhidmatan untuk membiayai kegiatan masing-masing. Sebelum kita masuk kepada perbincangan secara langsung, menerusi jadual 3.1 dapat membantu kita memahami dengan lebih jelas perihal sumber-sumber hasil kewangan kerajaan tempatan. Jadual 3.1 .menunjukkan kedudukan Majlis-majlis Perbandaran berhubung dengan setiap sumber hasil secara purata.

Jadual 3.1 Sumber-sumber Hasil Majlis Perbandaran
Jenis Hasil
% Daripada Semua Hasil
% Daripada Hasil Tempatan (*)
Cukai Taksiran
61.09
68.09
Lesen
4.57
5.09
Yuran dan Bayaran Perkhidmatan
14.24
15.87
Sewa
4.20
4.69
Sumbangan dan Perbelanjaan Direkod Semula
1.35
1.51
Lain-lain
4.26
4.75
Geran Negeri
7.14
-
Geran Persekutuan
3.15
-
Jumlah
100.0
100.0

Sumber : Sugunan Pillay & Tan Soo N. Laporan “Municipal Financial Management”
               1985. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. hlm. 9.
       (*) : Hasil tempatan merujuk kepada jumlah hasil yang diperolehi daripada kawasan 
              tadbiran penguasa tempatan, tidak termasuk geran dan sumbangan membantu  
                          kadar. 

3.1 Cukai Taksiran  @ Cukai Pintu
(Berjoyai, 1987) mendefinisikan cukai sebagai bayaran wajib tetapi bukan denda oleh kerajaan ke atas penggunaan pendapatan, kekayaan atau asas lain untuk faedah rakyat yang diperintah. Terdapat pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan kepada rakyatnya dan cukai taksiran merupakan salah satu sumber hasil yang paling penting kepada kerajaan tempatan. Cukai taksiran adalah cukai yang dikenakan terhadap pengangan atau harta tanah dalam kawasan tadbiran kerajaan tempatan atau penguasa tempatan. Juga merupakan cukai jenis langsung yang ditanggung oleh pemilik atau tuan punya harta tanah. Kutipan hasil daripada sumber ini bergantung pada peringkat pembangunan kawasan tadbiran. Lebih banyak pembangunan yang membangun maka kerajaan tempatan mempunyai asas cukai yang lebih luas. Cukai taksiran digunakan secara teori untuk membiayai perbelanjaan yang dikenakan bayaran secara berasingan mengikut penggunaan. Kebanyakkan daripada kegiatan penguasa tempatan yang dikenali sebagai ‘Public Goods’ seperti kesihatan awam dan kecantikan bandar adalah dibiayai daripada cukai ini. Dalam menentukan nilai sesuatu harta ia melibatkan satu proses yang disebut sebagai penilaian. Pihak yang menilai pula digelar penilai cukai. Proses ini dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan sendiri dengan bantuan dari Jabatan Penilaian Harta.

Cukai Taksiran            = x  % x Nilai tahunan
Jika kadarnya              = 10%
Nilai tahunan
Pegangan (x)               = $1000.00
Cukai harta                  = 0.1 x $1000.00
                                    = $100
            x – kadar cukai taksiran
=Contoh Perkiraan Cukai Taksiran
           
            Cukai taksiran ialah peratusan yang dikenakan terhadap nilai tahunan atau nilai tambah sesuatu pegangan. Akta Kerajaan Tempatan mendefinisikan istilah nilai tahunan sebagai anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun daripada pegangan yang berkenaan jika disewakan dengan tuan tanah yang membayar belanja pembaikan, insurans, penyenggaraan atau pemeliharaan dan segala kadar dan cukai. Lebih ringkas nilai tahunan merujuk penggunaan anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah sebagai asas pengenaan cukai. Manakala nilai tambah menggunakan anggaran harga jualan yang berpatutan sebagai asas cukai. Akta Kerajaan Tempatan (1976) telah menetapkan kadar maksimum cukai taksiran yang boleh dikenakan oleh penguasa kerajaan tempatan. Iaitu tidak boleh melebihi 35% jika menggunakan nilai tahunan dan 5% jika menggunakan nilai tambah. Penguasa tempatan juga dibenarkan mengenakan cukai taksiran pada kadar yang berbeza mengikut kegunaan pegangan dan lokasinya.

3.2 Bayaran Lesen
Akta Kerajaan Tempatan memberi penguasa tempatan kuasa yang luas untuk mendaftar, melesen dan mengawal perdagangan, perniagaan atau perindustrian dalam kawasan tadbirnya. Seperti peniagaan kedai gambar, kedai makanan dan minuman, kedai dobi, kedai runcit, semua jenis pertukangan, kedai pajak gadai, kedai emas dan sebagainya. Untuk perjelasan lanjut perhatikan jadual 3.2.  Potensi lesen menjadi satu sumber hasil kerajaan tempatan sebenarnya adalah terhad. Ini adalah kerana ia bergantung pada pembandaraan kawasan tersebut. Biasanya penguasa tempatan yang mentadbir kawasan Bandar seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Dewan Bandar Raya Ipoh menerima hasil yang agak banyak daripada lesen.
               Lesen sebenarnya adalah alat untuk mengawal penubuhan, pemilikan dan pengendalian sesuatu perniagaan dalam bidang kuasa kerajaan tempatan. Oleh yang demikian usaha untuk menjadikan sebagai satu sumber hasil yang lumayan pasti tidak wajar dari segi dasarnya. Selain itu bidang kuasa penguasan tempatan dalam memberi lesen perniagaan atau perdagangan adalah berdasarkan beberapa syarat. Iaitu perniagaan mestilah diterima sebagai sesuatu ‘obnoxius trade’. Namun di Malaysia penguasa tempatan mengenakan lesen terhadap hampir semua jenis perniagaan yang tidak didaftarkan dan dikawal di bawah akta yang lain tanpa merujuk kepada syarat memudaratkan atau kacau ganggu.

Jadual 3.2 Jenis-Jenis Lesen Majlis Perbandaran Shah Alam 1986
Senarai Lesen Yang Dikeluarkan
Jenis
Bilangan Lesen Dikeluarkan Sehingga Tahun 1986
  1. Kilang (bukan makanan)
  2. Kilang (makanan/minuman/tembakau)
  3. Kedai makan
  4. Kedai dobi
  5. Kedai kek
  6. Kedai gunting rambut
  7. Stesen minyak
  8. Menyimpan minyak diesel dan petroleum
  9. Pasar raya
  10. Cetak-mencetak
  11. Kedai runcit
  12. Perkakasan (hardware)
  13. Farmasi
  14. Akuarium

171
22
35
3
-
6
4
143
2
12
41
2
1
1
           Jumlah
443

3.3 Bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan     
Status berautonomi kewangan tidak bermaksud kerajaan tempatan mesti berdikari dari segi kewangannya. Memandangkan hakikat bahawa kerajaan persekutuan dan negeri telah diperuntukan sumber-sumber hasil yang lebih banyak dan produktif maka bantuan mestilah dihulurkan untuk mengimbangi keadaan. Selain itu kerajaan negeri adalah bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan. Oleh itu peringkat kerajaan ini terpaksa mengeluarkan bantuan dan bantuan itu diperuntukkan dalam bentuk geran. Pemberian geran ini dikira satu tindakan budi bicara dan kesinambungan yang tiada jaminan. Geran juga merupakan satu saluran kawalan terhadap kerajaan tempatan oleh kerajaan persekutuan yang diletak di bawah jagaan kerajaan negeri.
            Kerajaan tempatan umumnya menerima lima jenis geran daripada kerajaan atasannya iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Kerajaan persekutuan mengeluarkan geran pelancaran, geran peneyenggaraan dan geran jalan. Manakala kerajaan negeri mengeluarkan geran imbangan dan pembangunan.

a) Geran Pelancaran
Geran pelancaran yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan telah disediakan sejak tahun 1978 untuk mempercepatkan dan meringankan beban penguasa tempatan yang telah disusun semula. Akta Geran Negeri (Penyenggaraan Penguasa Tempatan) 1981, Akta 245 telah diluluskan untuk tujuan ini. Perlu diketahui geran ini bukanlah geran tahunan atau yang berterusan. Geran ini ditadbir oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ia boleh digunakan untuk membiayai projek atau pembelian barangan modal untuk membanyakkan atau meluaskan perkhidmatan terutama sekali kepada kawasan luar bandar serta kawasan yang baru dibangunkan. Setiap Majlis Daerah berhak mendapat tidak lebih daripada $4.125 juta manakala Majlis Perbandaran pula boleh mendapat $3.50 juta. Lebihan diberikan kepada Malis Daerah kerana ia dianggap lebih mundur dan kurang berupaya menyediakan perkhidmatan berbanding Majlis Perbandaran. Selain itu pengiraan peruntukan juga adalah berdasarkan bilangan penduduk dan saiz kawasan. Namun begitu geran ini tidak lagi dikeluarkan pada masa kini berikutan peredaran waktu.

Jadual 3.3 Perbelanjaan Geran Pelancaran
Tahun
Perbelanjaan
1978
1979
1980
1981
1982
1986-1987
5 967 362.04
13 455 072.39
18 264 960.12
19 112 418.89
16 867 185.02
6 400 000.00

Baki
32 000 000.00

Sumber : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Laporan Akhbar

b) Geran Penyenggaraan
Geran ini diperkenalkan pada tahun 1978 untuk mengurangkan beban perbelanjaan pentadbiran yang disebabkan oleh kenaikan gaji kakitangan. Ia diperhitungkan berasaskan kepada jumlah penduduk dan juga kutipan hasil pendapatan penguasa tempatan. 

Formula Geran Penyenggaraan
i. Formula berasaskan bilangan penduduk
1- Bagi tiap-tiap 5000 orang pertama kadar $7.00 seorang
2- Bagi 5000 orang yang berikut kadarnya $3.50 seorang
3- Bagi 40 000 orang yang berikut kadarnya $0.50 seorang.

ii. Formula yang berasaskan hasil pendapatan penguasa tempatan
1- Bagi $10 000 yang pertama hasil pendapatan dikutip kadarnya ialah $1.00 bagi setiap
    seringgit
2- Bagi $40 000 yang berikut kadarnya ialah $0.50 bagi setiap seringgit
3- Bagi $50 000 yang berikut kadarnya ialah $0.10 bagi setiap seringgit.

            Berasaskan kepada formula berkenaan jumlah maksimum yang boleh diterima oleh sesebuah penguasa tempatan ialah $107 500 setahun. Jelas sekali formula ini dirangka supaya memihak kepada penguasa tempatan luar bandar atau yang mempunyai bilangan penduduk kecil.

c) Geran Jalan
Kerajaan negeri juga menyalurkan sebahagian daripada geran jalannya yang disediakan kepada kerajaan tempatan. Antara kerja-kerja atau kos-kos yang terdapat dalam geran jalan termsuklah kerja penurapan, penampalan lubang, pembinaan jambatan dan longkang, penanaman pokok-pokok peneduh, pemasangan lampu isyarat, pembersihan jalan dan sebagainya. Jumlah perbatuan yang masih digunakan pada masa ini ialah perbatuan tahun 1979. Jalan-jalan bandar yang dipertanggungjawabkan kepada penguasa tempatan tidak sepenuhnya diberikan geran. Jalan-jalan di bandar terutama sekali dalam kawasan perumahan yang diluluskan di bawah undang-undang bangunan tidak menepati syarat dalam Orninan Jalan Persekutuan 1959 (semakan 1989). Jesteru itu penguasa tempatan terpaksa menggunakan sumber-sumber mereka yang terhad untuk penyenggaraan jalan-jalan tersebut.
            Jumlah geran yang diberikan bagi setiap batu adalah dikira berasaskan lebar jalan sebesar 14 kaki. Namun tidak semua jalan bukan persekutuan layak menerima geran jalan ini. Contohnya jalan-jalan dalam kawasan perumahan adalah tidak layak mendapat geran ini. Penentuan jalan yang layak ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya. Ia perlu dipohon namun masih banyak pihak berkuasa tempatan yang tidak begitu jelas tentang prosedurnya.

d) Geran Imbangan dan Pembangunan
Merupakan geran yang diberikan mengikut budi bicara kerajaan persekutuan kepada penguasa tempatan yang sangat-sangat memerlukannya dan untuk projek-projek tertentu. Ia diperuntukan sebagai geran untuk projek pembangunan kecil seperti pembinaan parit, kedai atau warung makan, pasar kecil dan pemasangan lampu jalan. Majlis-majlis Daerah lebih banyak menerima geran ini disebabkan oleh kekurangan kewangan untuk membiayai projek seperti itu. Tetapi kerajaan persekutuan kini tidak lagi berminat untuk memberikan banyak geran sedemikian. Dari segi perancangan kewangan pula, jumlah geran yang akan diterima adalah sukar dijangka. Oleh itu ia tidak boleh dikira sebagai satu sumber pembiayaan yang tetap.

3.4 Hasil Perkhidmatan dan Yuran
Umumnya sumber ini menghasilkan tidak kurang daripada 10% daripada jumlah hasil penguasa tempatan. Penguasa tempatan memungut yuran dan bayaran perkhidmatan yang banyak di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Yuran yang dimaksudkan ialah yuran yang dikenakan terhadap kemudahan klinik kesihatan, klinik haiwan, penggunaan alat dan kemudahan rekreasi seperti dewan, kolam renang, gelanggang, padang bola, perpustakaan, pembersihan tangki najis, pembuangan sampah dan sebagainya. Penguasa tempatan juga mengenakan dan menerima yuran berkaitan dengan fungsi kawalan pembangunannya.
            Disebabkan oleh sistem perakaunan dan juga pentadbiran, penguasa tempatan tidak dapat mengira dan menentukan yuran atau bayaran kadar yang bersamaan dengan kos menyediakan kemudahan tersebut. Besar kemungkinan hanya kos langsung sahaja yang diambil kira. Satu lagi ciri-ciri hasil perkhidmatan ialah kebanyakan kemudahan yurannya ditetapkan rendah supaya tidak membebankan mereka yang tidak mampu dan kaedah yang digunakan ialah untuk mengeluarkan subsidi kepada semua pengguna.

3.5 Sumbangan Membantu Kadar
Sumbangan membantu kadar adalah bayaran yang dibuat oleh kerajaan persekutuan, negeri atau badan berkanun kepada kerajaan tempatan. Mengikut Perkara 156 Perlembagaan Malaysia, jika tanah atau bangunan digunakan untuk tujuan awam oleh pihak kerajaan persekutuan, negeri atau badan berkanun, pegangan tersebut tidak boleh dikenakan cukai taksiran. Tetapi jabatan kerajaan juga menerima dan menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh penguasa tempatan. Oleh itu demi keadilan, kerajaan persekutuan dan negeri serta agensi-agensinya diperlukan oleh Perkara 156 Perlembagaan Malaysia untuk memberikan sumbangan membantu kadar. Sumbangan ini tidak ditentukan oleh penguasa tempatan secara berasingan. Biasanya kadar ini dibincangkan dalam Majlis kewangan dan Majlis Kerajaan Tempatan Nasional.

3.6 Pinjaman
Selain itu pinjaman juga merupakan salah satu sumber pembiayaan kepada kerajaan tempatan yang dibenarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan. Penguasa tempatan boleh mendapatkan pinjaman daripada tiga sumber ;
i-        Bank-bank (Sek. 41)
ii-      Kerajaan negeri atau persekutuan (Sek. 47)
iii-    Perseorangan (Sek. 41, 46)
Pinjaman yang dibenarkan di bawah Sek. 41 mestilah untuk tujuan seperti yang berikut ;
i-        Membiayai pengambilan alih tanah
ii-      Pembinaan bangunan yang penguasa tempatan dibenarkan di bawah undnag-undang
iii-    Pengendalian kerja-kerja tetap, pembinaan atau pembaharuan loji atau pembelian juga penggantian kenderaan
iv-    Menjelaskan pinjaman lama

Manakala pinjaman yang dibenarkan di bawah Sek. 46 boleh digunakan untuk pembangunan harta kediaman, perniagaan dan perusahaan. Pengetahuan lain, hutang penguasa tempatan adalah tidak boleh melebihi lima kali nilai tahunan dalam senarai nilaian yang terbaru dan dengan syarat bahawa tempoh pembayaran balik hutang tersebut tidak melebihi 60 tahun.
            Sekalipun Akta Kerajaan Tempatan (1976) memberikan kelonggaran kepada penguasa tempatan untuk mendapatkan pinjaman daripada pelbagai sumber, penggunaan pinjaman dalam membiayai perbelanjaan modal adalah amat terhad. Hanya penguasa tempatan yang besar dan mempunyai kakitangan kewangan yang mahir diberikan pinjaman kerana dapat meyakinkan bahawa pinjaman tersebut akan diuruskan dengan baik.

3.7 Sewa, Pulangan Terhadap Pelaburan dan Denda
Sewa dan pulangan terhadap pelaburan tidak merupakan sumber hasil yang penting bagi penguasa tempatan. Jumlah yang diterima daripada sumber ini bergantung pada keupayaan dan kemampuan sesuatu penguasa tempatan untuk mendapatkan modal bagi membiayai pembinaan rumah atau kompleks membeli belah. Manakala denda adalah satu sumber hasil yang tidak stabil. Sumber ini tidak boleh diharapkan untuk menghasilkan aliran kewangan yang tetap. Malah, alirannya akan atau harus berkurangan jika kekesanan penguatkuasaan oleh penguasa tempatan meningkat.        
            Kerajaan tempatan mempunyai sumber-sumber hasil tertentu untuk membiayai perjalanan kewangan kawasannya. Walaupun terdapat beberapa sumber hasil yang dikatakan tidak berapa penting dalam mengeluarkan hasil namun ia tetap membantu.

4.0 PENTADBIRAN CUKAI TAKSIRAN
Setelah senarai nilai tahunan baru diterima pakai, kadar cukai ditetapkan oleh penguasa tempatan. Kadar atau peratusan ini ditetapkan oleh penguasa tempatan berdasarkan kepada keperluan hasil untuk membiayai perbelanjaan penguasa tempatan tersebut. Pihak majlis akan membincangkan dan meluluskan kadarnya dalam atau melalui proses belanjawan. Belanjawan (termasuk dengan cadangan kadar-kadar cukai taksiran) akan dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri untuk kelulusan. Apabila diluluskan, (biasanya tiap-tiap bulan Disember) penguasa tempatan boleh menguatkuasakan senarai nilaian baru untuk memungut cukai. Cukai taksiran dipungut dalam dua ansuran. Bayaran pertama mestilah diselesaikan sebelum akhir bulan Februari dan bayaran kedua pula sebelum akhir bulan Ogos. Pungutan cukai dalam dua ansuran ini adalah satu jalan yang baik untuk mengurangkan beban kewangan terhadap pemilik. Seperti biasa, sebilangan daripada pembayar cukai akan menjelaskan tanggungan cukai mengikut waktu.
            Mengikut Akta Kerajaan Tempatan (1976), jika tanggungan cukai tidak dijelaskan pada penghujung bulan Februari atau Ogos, penguasa tempatan boleh mengenakan denda yang ditetapkan. Iaitu sekiranya pemilik tidak membayar cukai mengikut masa yang ditetapkan, penguasa tempatan boleh mengeluarkan waran tahanan dalam borang yang ditetapkan untuk merampas harta alih kepunyaan pemilik atau penghuni yang terletak dalam kawasan tadbir penguasa tempatan tersebut. Tetapi sebelum dilakukan penguasa tempatan mesti menghantar notis tentang tunggakan berkenaan kepada pemilik pada alamat yang ada dan memberikan tempoh 15 hari untuk menjelaskan tunggakan tersebut. Setelah tamat tempoh ini, penguasa tempatan boleh merampas harta yang terdapat di atas pegangan walau siapa sahaja pemiliknya.    
            Ringkasnya cukai taksiran merupakan salah satu sumber hasil yang penting dalam kerajaan tempatan hinggakan akta membenarkan pihak penguasa tempatan mengambil tindakan kepada sesiapa yang tidak menjelaskannya. 

5.0 SISTEM BELANJAWAN DAN PERAKAUNAN KERAJAAN TEMPATAN
5.1 Sistem Belanjawan
Sistem belanjawan yang diamalkan oleh penguasa tempatan di Malaysia adalah sistem belanjawan garis butiran. Iaitu anggaran perbelanjaan semua program yang dikendalikan akan dinyatakan mengikut garis input yang diperlukan. Umpamanya, keperluan tenaga kerja dinyatakan sebagai emolument, bahan-bahan sebagai bekalan, utility sewa dan lain-lainnya.

5.2 Sistem Perakaunan
Di Malaysia peringkat kerajaan tempatan adalah peringkat yang menghadapi masalah terbesar dalam mewujudkan dan mengendalikan sistem perakaunan yang memuaskan kecuali beberapa penguasa tempatan besar. Mengikut Akta Kerajaan Tempatan (1976), setiap penguasa tempatan mesti mewujudkan satu kumpulan wang penguasa tempatan. Semua kutipan mesti dikreditkan dalam akaun dan semua perbelanjaan dikeluarkan daripada kumpulan wang ini mengikut syarat-syarat kewangan yang ditetapkan. Pihak penguasa tempatan mesti menyimpan rekod dan buku-buku yang diperlukan untuk merekodkan semua urusan penguasa tempatan. Ini membenarkan penguasa tempatan untuk mewujudkan sistem perakaunan yang tersendiri. Tetapi penguasa tempatan harus mengikuti dan menggunakan sistem kewangan dan perakaunan seperti yang digunakan oleh kerajaan persekutuan. Arahan perbendaharaan merupakan garis panduan dalam mewujudkan sistem perakaunan.
            Pada dasarnya sistem perakaunan penguasa tempatan adalah sistem perakaunan dana (Fana Accounting). Semua urusan yang direkodkan dan diterbitkan ialah segala penerimaan tunai dan pembayaran tunai daripada kumpulan wang penguasa tempatan seperti juga peringkat-peringkat kerajaan lain. Struktur akauan penguasa tempatan meliputi perbelanjaan dan hasil. Hasil direkodkan mengikut jenis hasil yang diterima dan perbelanjaan pula mengikut kategori perbelanjaan seperti yang diamalkan pada peringkat kerajaan  negeri. Sistem perakaunan seperti tidak menimbulkan masalah kerana operasi-operasi penguasa tempatan bukanlah untuk mengaut keuntungan tetapi untuk menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan asas mungkin pada kadar balik modal. Tujuan utama rekod perakaunan dalam penguasa tempatan, seperti juga dalam sektor awam ialah untuk menunjukkan bahawa semua perbelanjaan telah diluluskan dan tidak melebihi jumlah yang diperuntukkan. Ringkasnya, penentuan sejauh manakah keakuran kepada belanjawan adalah objektif sistem perakaunan awam dan juga penguasa tempatan.
            Pihak penguasa tempatan juga mestilah menyediakan penyata kewangan dan membentangkannya kepada majlis dalam mensyuarat pertama dalam bulan Mei dalam tahun kewangan yang berikutnya atau pada masa yang ditetapkan oleh penguasa tempatan. Penyata kewangan ini akan diaudit oleh Ketua Audit Negara atau wakilnya. Penyata kewangan yang telah diaudit mestilah dibentangkan dalam Majlis dan juga dalam Dewan Undangan Negeri yang berkenaan. Disebabkan oleh kekurangan kakitangan kewangan, kebanyakkan penguasa tempatan tidak dapat menyimpan dan menyediakan laporan kewangan yang betul mengikut kemahuan negeri dan Ketua Audit Negara. Biasanya penguasa tempatan mengambil masa antara 2-4 tahun sebelum penyata kewangan dapat diaudit.         
            Kesimpulannya sistem perbelanjaan dan perakaunan kerajaan tempatan dari semasa ke semasa sentiasa diperbaiki bagi meningkatkan kualiti pengurusan kewangannya.

6.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMPERKEMASKAN PENGURUSAN KEWANGAN KERAJAAN TEMPATAN
Dalam usaha memperbaiki serta memperkemaskan lagi sistem pengurusan kewangan kerajaan tempatan, kerajaan persekutuan serta negeri turut bekerjasama mengambil beberapa langkah utama. Dalam hal ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah agensi yang terpenting memandangkan ia mempunyai kakitangan yang profesional dan berpengalaman serta boleh memberikan nasihat kepada penguasa tempatan.

6.1 Pengkomputeran
Kini sektor awam sedang mengalami proses pengkomputeran yang pesat. Sejumlah besar peruntukan dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri untuk mendapatkan sistem komputer demi memperkemaskan sistem pentadbiran awam. Tetapi kekurangan kewangan dan kakitangan menghalang pengkomputeran dengan cepat dan luas. Namun begitu kerajaan-kerajaan negeri telah mula memberikan bantuan kepada penguasa tempatan masing-masing untuk bergerak ke arah pengkomputeran. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memperuntukan sebanyak $4 juta untuk membiayai pengkomputeran dalam penguasa tempatan.
            Potensi pengkomputeran amat luas dalam memberikan kesan kepada keupayaan pihak penguasa tempatan untuk memungut hasil dan mengawal perbelanjaan dengan lebih baik. Sebahagian daripada masalah pungutan hasil berpunca daripada sistem maklumat yang usang dan memerlukan jangka masa yang lama sebelum sesuatu hal dapat dikesan. Bahagian kewangan adalah calon yang paling sesuai dalam pengkomputeran. Rekod-rekod pemilik harta, tanggungan cukai, alamat serta butiran-butiran lain boleh dimasukkan dan dikemaskini dengan cepat. Program yang baik menghasilkan laporan-laporan harian juga mingguan atau bulanan tentang aliran hasil dan juga laporan tentang mereka yang mempunyai tunggakan.
            Selain itu apabila sesuatu agensi beralih kepada sistem pengkomputeran, prosudernya mestilah dikaji dan ditetapkan berasaskan kemampuan komputer. Lebih banyak maklumat dan laporan pengurusan boleh diperolehi daripada sistem berkomputer. Pertimbangan dan perancangan tentang pengkomputeran memerlukan kakitangan mahir untuk memahami keperluan. Kepercayaan kepada komputer dalam menyelesaikan masalah juga bukanlah satu yang tidak berasas. Misalnya, dalam konteks Majlis Daerah Segamat Utara, Kuala Muda dan Majlis Perbandaran Kota Bharu, telah menghasilkan peningkatan sebanyak 25% dalam kutipan hasil. Oleh yang demikian segala kesusahan atau masalah permulaan dalam menggunakan sistem pengkomputeran perlu ditangani bersama-sama supaya kelak dapat menghasilkan manfaat juga kesan positif kepada penguasa tempatan.

6.2 Penswastaan
Langkah seterusnya dalam usaha mempertingkatkan keupayaan kewangan khususnya dalam mengawal perbelanjaan yang semakin meningkat dan kelihatan tidak terkawal ialah penswastaan. Penswastaan bermaksud membenarkan firma-firma swasta menjalankan sesuatu perkhidmatan bagi pihak penguasa tempatan. Oleh sebab firma swasta tidak dikongkong oleh peraturan-peraturan seperti penguasa tempatan, maka ia dapat menjalankan sesuatu kegiatan dengan lebih cekap. Antara perkhidmatan yang telah diswastakan ialah ;
i-        Pemungutan, pemunggahan dan pembuangan sampah
ii-      Pemotongan rumput
iii-    Penyenggaraan jalan (pembaikan dan penurapan)
iv-    Pengurusan tandas awam
v-      Pembinaan jalan dan parit
vi-    Pembaikan kenderaan penguasa tempatan
vii-  Pembersihan bangunan dan taman
viii-   Pengurusan tapak letak kereta

Potensi penswastaan untuk mengurangkan beban kewangan penguasa tempatan sememangnya wujud. Tetapi sama ada secara praktisnya penswastaan memberikan faedah yang dijangkakan atau tidak, bergantung pada kemampuan serta kesanggupan penguasa tempatan untuk mengawal dan mengatasi syarikat swasta dalam menjalankan sesuatu perkhidmatan.

6.3 Tatacara Kewangan yang Seragam untuk Penguasa Tempatan
Pihak  kementerian sedang merangka undang-undang kecil tentang tatacara kewangan dan perakaunan. Tatacara ini apabila selesai dan diterima oleh penguasa tempatan ianya akan menghasilkan sistem pengurusan kewangan yang sistematik dan seragam. Ini juga dijangka akan mengurangkan masalah-masalah sedia ada yang sering berlaku dalam pentadbiran kewangan tempatan dengan kawalan dalaman yang baik.
            Langkah-langkah yang dinyatakan iaitu sistem pengkomputeran., penswastaan dan tatacara kewangan yang seragam hingga kini tidak perlu disangkal keberkesanannya dalam memperkemaskan pengurusan kewangan kerajaan tempatan khususnya serta urusan-urusan lain. Mudah, cepat dan praktikal.

7.0 KESIMPULAN
Pentadbiran kewangan kerajaan tempatan dalam meniti arus pemodenan serta peningkatan taraf hidup masyarakat sedaya upaya memperbaiki juga memperkemaskan strukturnya. Hal ini adalah tidak lain tidak bukan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat terjamin. Menerusi sumber-sumber hasil yang dinyatakan seperti hasil cukai harta, hasil bantuan kerajaan pusat dan negeri iaitu melalui geran-geran tertentu, hasil perkhidmatan yuran dan sebagainya, pentadbiran kewangan kerajaan tempatan dapat mengekalkan prestasinya dengan baik. Tanpa bantuan kerajaan pusat dan negeri kebanyakan penguasa tempatan tidak dapat melibatkan diri dalam kegiatan pembangunan dan mungkin peranan mereka hanya terhad dalam funsi-fungsi wajib sahaja. Oleh itu kerjasama dari perlbagai pihak seperti kerajaan atasan dan masyarakat setempat amat membantu.
            Tanpa pengurusan kewangan yang baik penguasa tempatan tidak boleh menjalankan fungsinya dengan baik. Pandangan negetif awam terhadap pentadbiran kewangan tempatan dapat dikikis jika akauntabiliti kewangan penguasa tempatan dapat ditingkatkan. Justeru itu langkah-langkah yang dinyatakan untuk memperkemaskan pengurusan kewangan kerajaan tempatan perlu dikuatkuasakan dengan efektif. Apa yang lebih penting dalam persoalan ini adalah kepercayaan masyarakat sekeliling terhadap pentadbiran kewangan kerajaan tempatan. 


8.0 RUJUKAN

 Hazman Shah Abdullah. (1992). Pentadbiran kewangan kerajaan tempatan di
            semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 A. R. Zahari. ( 1991). Memahami kerajaan tempatan di Malaysia. Selanagor Darul
            Ehsan: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Barjoyai Bardai. (1987). Percukaian : prinsip dan amalan di Malaysia. Kuala
            Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nuraini Yusoff  et al. (2007). Bahasa melayu untuk pengurusan. Sintok:
             Universiti Utara Malaysia.
  
Wallchutzky, I., James, S., & Singh, V. (1998). Future direction in tax administration:
            a malaysian perspective. Jurnal Percukaian, 13-25.

Mohamed Afandi Ismail., & Hanafi Mat Zin. (1998). Peranan pihak berkuasa tempatan
            sebagai pembekal rumah. Jurnal KPKT,  36-41.

Hatry, H et al. (1984). Analisa program bagi kerajaan tempatan dan negeri.
             Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ensiklopedia undang-undang dan pentadbiran perancangan Bandar dan desa.
Organisasi dan pentadbiran (bab. 2). http://www.townplan.gov.my/ensiklopedia.BAB%2002.pdf

Peranan pihak berkuasa perancang tempatan dalam pembangunan tanah. (2007).

sem: okt 09/10
kertas: kerajaan tempatan
lec: en. subri hasim