Sunday, December 26, 2010

ISLAM PENYELESAIAN UMMAH

(Nilai-nilai Murni Islam Satu Jalan Penyatuan)

Nilai-Nilai Dalam Islam
Islam merupakan ad-Din iaitu agama yang memperkenalkan cara hidup terbaik untuk diikuti dalam kehidupan seseorang manusia. Dengan adanya dua sumber rujukan utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar peraturan disediakan sebagai rujukan seluruh manusia bagi memudahkannya menjalani kehidupan harian. Selain itu apa yang lebih menarik ialah setiap perbuatan dan perlakuan umatNya sentiasa berhubung secara tidak langsung dengan Allah s.w.t, Pencipta Yang Maha Esa. Islam adalah sangat istimewa, unik dan mempunyai unsur kekuatan yang tersendiri. Islam merupakan satu-satunya agama yang dapat menyatukan ummah.   
Kita perkecilkan skop tajuk dengan membincangkan tajuk kecil iaitu Islam dapat menyelesaikan ummah dari sudut akhlak Islam atau nilai-nilai murni yang terkandung di dalamNya. Secara umum semua kepercayaan menyeru para penganutnya mengamalkan nilai-nilai murni dan menjalani kehidupan harian yang baik. Nilai-nilai seperti berkasih sayang, sabar, pemaaf, amanah, positif, bersyukur dan sebagainya amat membantu seseorang menjadi manusia hebat seterusnya membentuk ummah yang kuat dari pelbagai sudut. Namun begitu, persoalan yang akan diketengahkan di sini ialah bagaimana Islam boleh menyatukan ummah dengan nilai-nilai murni yang sangat ditekankan ini, berbanding agama atau kepercayaan-kepercayaan lain. Kita akan menyingkap tiga nilai murni utama yang dapat menyelesaikan ummah dari kaca mata Islam dan mengikut hukum kehidupan umumnya. Iaitu nilai pemaaf dan kasih sayang, nilai sabar dan syukur, dan nilai positif.           
 
Pemaaf dan Kasih Sayang
Setiap manusia normal hatinya lembut dan mahukan kebaikkan. Percaya atau tidak dalam diri kita penuh dengan sifat kemaafan serta kasih sayang. Kita bukanlah jenis manusia yang suka mencaci atau bergembira dengan kelemahan orang lain.Cuma hal ini semua akan dirasai dan difahami oleh mereka yang benar-benar berusaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hati manusia adalah sangat sensitif, sekiranya tidak dibimbing dengan betul ia mudah melencong mengikut godaan syaitan dan mula dipengaruhi sifat bongkak, sombong dan ego. Semua sifat buruk ini menjadikan kita ganas, berhati batu serta tidak peka kepada perasaan orang lain. Hal yang demikian akan menyebabkan perpecahan ummah sikit demi sedikit secara tidak langsung.
            Di sini kita memerlukan bimbingan dari Allah. Iaitu kita berdoa, berusaha, dan mendekatkan diri kepada-Nya. Berdoa dengan penuh keinsafan bahawa doa adalah permintaan dan bukan perintah kepada Allah (Jahaberdeen Mohamed Yunoos, 2006). Bertindak dengan penuh kemaafan serta kasih sayang adalah satu sikap yang datang dengan sendirinya kepada hati yang benar-benar sujud kepada Allah. Tanpa kita sedar, kita diingatkan oleh Allah setiap hari.              

Sabar dan Syukur
Menurut perspektif agama, sabar ialah keteguhan hati dalam menghadapi apa jua kesulitan dan bahaya yang menimpa. Menjadi lumrah kehidupan, setiap manusia pasti menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Walau sekecil mana dugaan semuanya pasti dirasai dan ditempuhi oleh setiap manusia yang hidup dimuka bumi ini. Sabar merupakan salah satu nilai murni yang mulia dan seharusnya dimiliki oleh setiap manusia, muslim terutamanya agar mencapai tingkat iman yang tinggi di sisi Allah. Sabda Nabi Muhammad s.a.w :
            “sabar itu separuh daripada iman.”

Dengan kesabaran yang tinggi dalam diri seseorang, dia dapat memiliki hati yang teguh, diri yang yakin dan iman yang mantap ketika menghadapi apa jua cabaran dalam apa jua situasi. Dalam mengharungi roda kehidupan yang sentiasa berputar menurut ketentuan Allah, setiap individu dituntut memiliki sifat sabar. Tambahan pula jiwa manusia berdepan dengan dua dimensi kekuatan yang saling bertentangan iaitu dimensi roh rohani yang mendorong ke arah kebaikkan dan dimensi nafsu yang mengarah kepada maksiat serta kejahatan. Maka disini sifat sabar memainkan peranan bagi mengimbangi dua dimensi berkenaan (Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2008).    

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.”
(Surah Ibrahim, ayat 34)
Firman Allah s.w.t di atas menunjukkan betapa luas dan banyak nikmat yang diberikan kepada kita manusia, oleh sebab itu sekelian manusia diingatkan agar sentiasa rasa bersyukur dengan nikmat tidak terhingga ini. Nikmat makan, nikmat hidup, nikmat kaya, nikmat melihat, nikmat mendengar, nikmat berjalan dan nikmat lain-lain lagi. Syukur juga antara sifat utama yang perlu ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang bersyukur kepada Allah maka dia mendapat ganjaran istimewa daripada Allah. Begitu pula sebaliknya, jika kita tidak bersyukur pasti menerima balasan yang pedih daripada Allah. Contohnya apabila kita mendapat nikmat kekayaan, Allah s.w.t menyeru kita bersedekah, membayar zakat, memberi sumbangan kebajikan dan kegunaan lain melalui saluran yang betul agar nikmat itu tidak disia-siakan. Namun apabila ada yang menyalahgunakan nikmat kekayaan dengan berjudi, memakan riba dan lain-lain perkara merosakkan. Maka akibatnya kelak memusnahkan diri sendiri dan orang disekeliling.           
 
Nilai Positif
Satu lagi nilai yang menjadi perhiasan diri dan bentang menjamin penyelesaian ummah ialah berfikiran serta bertindak positif. Positif umumnya bermaksud tindakan atau amalan yang baik. Betapa pentingnya bersikap positif adalah apabila dikatakan hala tuju seseorang bergantung padanya. Razzi Armansur dalam bukunya Hidup Untuk Menang, menyatakan apa yang disangkan itu selalunya terjadi. Ini kerana, selain prasangka buruk dihantar ke otak untuk diproses, secara tidak langsung ia juga merupakan doa di dalam senyap. Semua orang tidak mahu suatu yang buruk tetapi tidak sedar selalu diminta dan didoakan. Oleh itu, Islam menyuruh umatnya berprasangka baik.
            Begitu juga dengan Imran Jabar dalam bukunya Kunci Kejayaan Napolen Hill. beliau menegaskan sikap mental yang positif adalah sikap mental yang betul dalam sebarang situasi yang dihadapi. Biasanya ia terdiri daripada ciri-ciri positif seperti percaya, integriti, harapan, sikap optimis, berani, murah hati, toleransi, bijaksana, baik hati dan akal budi yang baik. Tengok sendiri dalam kelompok masyarakat kita, mereka yang bersifat positif adalah individu yang selalunya menjadi pakar rujukan, mendapat kepercayaan dan diberi lebih tanggungjawab untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini kerana mereka bijak dan adil dalam keputusannya. Ringkasnya sifat positif amat penting dalam diri seseorang, kerana terpahatnya sifat ini dalam diri walau dalam keadaan susah atau senang kita sentiasa dapat menyesuaikan diri dan menerima segalanya dengan baik.               

Penutup
Natijahnya apabila sifat-sifat atau nilai-nilai ini diterapkan, seseorang bagaikan pemandu yang tahu haluan atau destinasinya jesteru mengikut peraturan yang ditetapkan disepanjang jalan seterusnya akan sampai dengan selamat ke tempat yang dituju. Begitu juga dengan para penumpang, sama-sama akan selamat. Seperti mana ummah, kita umpamakannya seperti pemandu berkenaan.
Unmat Islam sewajibnya meletakkan Islam di tempat yang selayaknya sebagai teras dan tonggak dalam seluruh aspek kehidupan harian. Hal ini kerana dengan mengikutinya dijamin kehidupan seseorang muslim akan selamat. Mendapat kebahagian di dunia dan juga akhirat. Setiap perbuatan muslim akan dinilai, baik perbuatannya akan mendapat ganjaran pahala begitu pula sebaliknya. Orang yang tidak faham akan Islam dengan mendalam selalu menyatakan Islam agama yang mengongkong. Ini salah sama sekali, Islam bukan mengongkong tetapi sebenarrnya merupakan salah satu cara Allah s.w.t menununjukkan kasih sayang-Nya. Yang demikian kerana Islam sentiasa hendak memastikan manusia berada dalam landasan yang betul, maka Ia menunjukkan caranya.

Rujukan
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. (2008). Apa itu Islam. Selangor: PTS Publication
& Distributors Sdn. Bhd.

Jahaberdeen Mohamed Yunoos. (2006). Islam antara isi dan kuku. Selangor:
Thinker’s Library Sdn. Bhd.

Nuraini Yusoff  et al. (2007). Bahasa melayu untuk pengurusan. Sintok:
             Universiti Utara Malaysia.

 Nasrudin At-Tantawi. (2002, Januari 31). Pengertian tarbiah.

Abdullah Sudin Abd Rahman. (2010, Disember 2). Meneruskan kerja dakwah
dan terbiyah. http://www.haluan.org.my/v3/index.php/muhasabah-meneruskan-kerja-dakwah-dan-tarbiah.html

sem okt 10/11
pengurusan perbandingan
haji amir hamzah abdul