Tuesday, November 30, 2010

PROGRAM GERAKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG

sem     - okt 09/10 
subjek - etika pentadbir awam
untuk   - en. saadon awang


BINCANGKAN SATU (1) LANGKAH YANG   DIAMBIL OLEH KERAJAAN MALAYSIA UNTUK MEMASTIKAN KAKITANGAN SEKTOR AWAM MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB MEREKA DENGAN PENUH BERETIKA.


1.0 PENGENALAN
Dalam menuju pembangunan dan kemajuan sesebuah negara, sektor ekonomi dan kecanggihan teknologi dikatakan menjadi tonggak utama namun tidak kurang sektor tenaga manusia. Tenaga manusia sebenarnya merupakan penggerak yang penting agar sumber ekonomi dan teknologi dapat diadun dengan cara yang terbaik dan berkesan. Di Malaysia kakitangan sektor awam menjadi tonggak utama di sebalik nama kerajaan Malaysia. Kakitangan awam yang bekerja di setiap pelusuk bangunan dalam pelbagai bidang sentiasa menjadi harapan semua lapisan masyarakat dalam menjamin pembangunan, kemajuan dan keselamatan serta keamanan negara ini. Namun begitu para kakitangan sekor swasta juga memainkan peranan yang tersendiri dalam usaha  mencorak Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan gayanya yang tersendiri. Justeru itu setiap kakitangan awam perlu memberi serta menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh beretika. Dalam  memastikan setiap kakitangan awam menjalankan amanah mereka dengan penuh beretika kerajaan Malaysia sentiasa bertindak prihatin iaitu dengan menguatkuasakan pelbagai program serta dasar yang berkaitan. Salah satunya ialah dengan memperkenalkan Program Gerakan Budaya Kerja Cemerlang.

2.0 ETIKA KERJA DALAM SEKTOR AWAM
Etika kerja didefinisikan sebagai prinsip-prinsip moral yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi bagi mengawal tingkahlaku pekerja atau ahli organisasinya. Dalam konteks ini ia adalah bertujuan untuk mengawal tingkahlaku kakitangan sektor awam. Etika merupakan satu bentuk kawalan bagi memastikan perlakuan pekerja sentiasa selaras dengan sistem nilai sesebuah organisasi. Melalui prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam etika kerja, seseorang akan dapat mengetahui perbuatan-perbuatan yang dilarang dan perbuatan-perbuatan yang digalakkan oleh organisasi. Umunya etika kerja dibentuk berdasarkan nilai-nilai universal yang kemudiannya disesuaikan dengan lunas undang-undang negara, sistem nilai masyarakat setempat dan peraturan-peraturan tertentu yang ditetapkan oleh organisasi. Bagi perkhidmatan sektor awam etika kerja merupakan unsur terpenting untuk dititikberatkan kerana setiap kakitangan kerajaan perlu memiliki tingkahlaku yang sempurna dalam pandangan orang ramai.

2.1 Kakitangan Sektor Awam Merupakan ;
a)      Pemegang amanah rakyat. Oleh itu setiap darinya perlu bersifat bertanggungjawab dan meyakinkan orang ramai tentang keupayaan memelihara amanah tersebut.
b)      Mereka diberikan banyak kuasa untuk membuat berbagai keputusan melalui jawatan-jawatan dan pangkat yang dipegang.
c)      Mereka juga memiliki dan boleh mengetahui berbagai maklumat eksklusif kerajaan.

Selain itu etika kerja kakitangan awam di Malaysia telah dinyatakan dengan jelas melalui berbagai cara, seperti ;
a)      Perintah Am (Bab D) 1980 (Kelakuan dan Tatatertib)
b)      Panduan Perkhidmatan Cemerlang. Panduan ini telah menetapkan tujuh prinsip iaitu ;
·         Berazam meninggikan mutu perkhidmatan
·         Bekerja dengan penuh tanggungjawab
·         Berusaha mengikis sikap mementingkan diri
·         Berkhidmat dengan penuh muhibbah dan kemesraan
·         Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
·         Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara
·         Berpegang teguh kepada ajaran Agama
c)      Rukun Negara
d)     Lagu Perkhidmatan Awam

Justeru itu perkhidmatan-perkhidmatan tertentu juga didapati mempunyai etika-etika tersendiri sebagai tambahan kepada prinsip-prinsip yang dinyatakan melalui sumber-sumber seperti di atas. Iaitu seperti Perkhidmatan Perubatan, Perkhidmatan Perundangan dan sebagainya.     

2.2 Perlakuan Yang Tidak Beretika
 Secara umumnya tingkahlaku seseorang pekerja dianggap tidak beretika apabila ;
i.                    Perbuatan tersebut melanggar undang-undang negara dan boleh dikenakan hukuman
ii.                  Apabila perbuatan itu bercanggah dengan prinsip-prinsip moral dan etika yang diamalkan oleh masyarakat
iii.                Apabila perbuatan itu dilakukan bukan atas tujuan awam sebaliknya disebabkan oleh tekanan-tekanan seperti kepentingan kekeluargaan, politik, agama dan suku kaum.

Ringkasnya etika kerja kakitangan sektor awam sangat penting dalam mencerminkan setiap pelusuk perkhidmatan awam. Daripada pihak atasan hingga pekerja-pekerja bawahan. Oleh yang demikian tindakan susulan harus sentiasa dibuat bagi menjamin kestabilan etika kerja dan juga penerapan nilai etika itu dalam diri setiap kakitangan sektor awam.        
      
3.0 LATAR BELAKANG PROGRAM GERAKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG
Program gerakan budaya kerja cemerlang telah dilancarkan penghujung tahun 1989, iaitu pada 27 November 1989. Umumnya pembentukan Gerakan Budaya Kerja Cemerlang adalah merupakan salah satu tujuan panduan tentang strategi-strategi peningkatan kualiti dalam perkhidmatan awam. Selain itu menerusi gerakan ini, kerajaan berharap bahawa satu budaya kerja cemerlang di kalangan pihak berkuasa dan para pekerja dapat dibentuk dan dijadikan sebagai amalan hidup. Bersamaan tujuan itu, tujuh lagi program tambahan turut diperkenalkan. Hal ini adalah bagi meningkatkan mutu kualiti para pekerja dalam agensi tertentu jesturu dapat memantapkan etika dalam diri setiap kakitangan sektor awam. Antara nilai-nilai yang ditekan dalam Gerakan Budaya Kerja Cemerlang ialah seperti amanah, integriti, kualiti dan berdisplin. Manakala tujuh program berkenaan lebih menumpukan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan atau keluaran agensi-agensi dan  perkhidmatan awam secara keseluruhannya. Akan kita sentuh pada perbincangan seterusnya.

“Kualiti adalah sesuatu keadaan yang cemerlang atau amat baik tetapi kebaikan itu tidak terhad atau tetap pada sesuatu tahap. Ianya tidak statik. Ia bergerak sepanjang masa. Justeru itu, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih yang mesti kita kejar. Setelah kita mengejar dan mencapai kualiti yang baru menjadi matlamat kita, sekali lagi kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih baik daripada itu yang perlu kita kejar. Dengan itu, usaha kita tidak berhabis-habisan dan tidak ada hadnya serta kita perlu mengejar kualiti sepanjang masa.”

        Berikut merupakan petikan kata-kata YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad, Perdana Menteri ketika itu semasa beliau melancarkan gerakan budaya kerja cemerlang. Dengan memahami tujuan gerakan budaya kerja cemerlang adalah untuk membina masyarakat yang sentiasa mengutamakan dan mementingkan kualiti dalam segala usaha. Kakitangan sektor awam juga hendaklah menerap nilai-nilai utama yang terkandung dalam peraturan-peraturan perkhidmatan.

4.0 TUJUAN  GERAKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG
Gerakan budaya kerja cemerlang adalah bertujuan untuk menbina semangat kakitangan sektor awam supaya mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan tiap-tiap mereka. Umunya program gerakan budaya kerja cemerlang mempunyai tujuan dua serampang, iaitu :
i.                    Untuk meningkatkan kualiti kerja
ii.                  Sebagai alat untuk mengukur atau menyukat produktiviti juga hasil kerja seseorang anggota perkhidmatan awam.

Namun begitu Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji (1992), dalam memberi jaminannya  kepada kakitangan sektor awam bahawa untuk mencapai tujuan berkenaan, lima strategi yang telah dikenalpasti perlu dilaksanakan, iaitu :
i.                    Ketua-ketua jabatan adalah dipertanggungjawabkan untuk menggebleng keazaman atau tekad serta komitmen pegawai-pegawainya supaya mencari penyelesaian bersama ke atas masalah-masalah yang dihadapi. Pengurusan penyertaan sebagai teknik yang berkesan telah dikenalpasti, misalnya melaksanakan program Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) di Jabatan.
ii.                  Ketua-ketua jabatan hendaklah berusaha memupuk di kalangan stafnya tentang berkongsi visi bagaimana menyusun dan mengurus sesuatu masalah. Perundingan di antara ketua-ketua jabatan dengan staf bawahannya adalah digalakkan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
iii.                Ketua-ketua jabatan hendaklah mencari penyelesaian bersama ke atas masalah-masalah yang dihadapi.
iv.                Jabatan-jabatan perlu menerapkan perubahan-perubahan yang hendak dilaksanakan dengan memasukkannya sebagai dasar atau sistem jabatan supaya kefahaman dapat dipertingkatkan dan rasa kesamarataan di kalangan staf dapat ditanamkan.
v.                  Untuk menjamin kejayaan dan mengekalkan kejayaan yang dicapai serta diteruskan, jabatan-jabatan perlu mewujudkan sistem maklum balas ke atas semua aktiviti peningkatan mutu kerja seterusnya menyesuaikan aktiviti-aktiviti berkenaan mengikut kehendak masa.

Ringkasnya kedua-dua tujuan yang dinyatakan akan lebih berkesan jika disusuli dengan strategi-strategi di atas.

5.0 MASALAH-MASALAH DALAM PENERAPAN PROGRAM GERAKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG
Dalam usaha menerapkan gerakan budaya kerja cemerlang dengan berkesan terdapat beberapa masalah yang perlu diatasi oleh kakitangan sektor awam. Masalah-masalah berkenaan termasuklah :

5.1 Kakitangan Sektor Awam Yang Bermasalah
Hasil kerja yang baik dan berkualiti lahirnya daripada tenaga kerja yang bermotivasi tinggi dan begitu juga sebaliknya. Pengeluaran perkhidmatan yang tidak berkualiti boleh berpunca daripada kakitangan sektor awam yang bermasalah itu sendiri. Kelembapan pekerja, ponteng kerja, konflik di antara rakan sejawat, tidak mengikut arahan, tingkahlaku yang bertentangan dengan norma-norma pengurusan, tidak amanah, tidak berdisplin dan pekerja-pekerja yang mengalami konflik dan tekanan jiwa dan lain-lain lagi antaranya merupakan masalah yang sering timbul dalam diri kakitangan sektor awam. Pekerja yang bermasalah terutamanya yang mengalami tekanan jiwa akan menampakkan perubahan-perubahan dalam tingkahlakunya. Tingkahlaku yang negatif ini jika tidak dapat dikawal akan menimbulkan kesan yang buruk terhadap organisasi secara tidak langsung.

5.2 Pengurusan Masa
Lagi banyak masa dibazirkan lebih banyak produktiviti dan kualiti organisasi terjejas. Organisasi akan menanggung kerugian apabila kakitangan sektor awam tidak dapat menguruskan masanya dengan sempurna dan bijak. Dengan hal yang berikut terdapat beberapa risiko yang perlu ditanggung oleh organisasi, iaitu :
i-                    Menanggung kos tambahan kerana kelewatan menjalankan tugas-tugas tertentu
ii-                  Pembaziran sumber kerana output tidak lagi diperlukan oleh pelanggan
iii-                Menjejaskan imej agensi kerana perkhidmatannya akan dianggap tidak boleh dipercayai oleh orang ramai.

Setiap kakitangan sektor awam dinasihatkan agar menganalisis bagaimana mereka menggunakan masa di tempat kerja, cara mereka bekerja dan sistem-sistem yang digunakan. Dengan analisis ini, kakitangan-kakitangan sektor awam akan lebih memahami bagaimana masa digunakan dan dapat menimbulkan kesedaran dan kesinsafan bahawa masa yang produktiviti perlu dihargai serta digunakan untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai.

5.3 Pengurusan Mesyuarat
Sehingga hari ini masih terdapat banyak mensyuarat yang tidak produktiviti dan tidak berkesan. Dan antara punca-puncanya ialah ;
i.                    Mesyuarat jarang diadakan menyebabkan perkara-perkara yang telah dibincangkan dahulu menjadi ketinggalan apabila dibincangkan semula
ii.                  Kelewatan menghantar minit mesyuarat
iii.                Orang yang tidak dapat memberi sumbangan atau tidak berpengalaman menghadiri mesyuarat.
iv.                Tidak ada persediaan yang rapi oleh sebab tidak ada perancangan mesyuarat
v.                  Sikap tidak komited dan bersungguh-sungguh dalam mesyuarat
vi.                Tidak ada tidakan susulan

Untuk memastikan mesyuarat itu berkesan adalah amat penting dengan keterlibatan peranan-peranan seperti pengerusi, setiausaha, ahli-ahli dan urusetia. Selain itu perancangan yang strategik juga baik untuk memastikan mesyuarat itu berjaya.

5.4 Membuat Keputusan
Kecemerlangan kualiti yang diharapkan di dalam perkhidmatan awam adalah juga meliputi aspek yang dihasilkan seperti kecepatan, ketepatan dan kualiti dalam pembuatan sesuatu keputusan. Kelewatan boleh dikatakan berlaku apabila sesuatu tugas itu mengambil masa yang lebih daripada minimum yang ditetapkan. Kelewatan dalam membuat keputusan boleh berpunca daripada kelemahan dalam sistem dan prosedur kerja, dasar yang tidak jelas, rujuk merujuk diantara agensi, penggunaan budi bicara dan kekaburan kuasa yang diperuntukan. Oleh itu ketua-ketua Jabatan hendaklah sentiasa mengkaji semula sistem dan prosuder masa kini.            

5.5 Akauntabiliti Dalam Kakitangan Sektor Awam Yang Tidak Tegar
Kekurangan sifat akauntabili dalam kakitangan sektor awam juga menjadi salah satu faktor masalah penerapan gerakan budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi. Apabila anggota-anggota perkhidmatan awam tidak bersikap akautabiliti harta-harta awam tidak dapat diuruskan dengan jujur dan amanah. Oleh itu secara tidak langsung sektor awam akan tercemar dengan amalan rasuah dan macam-macam lain perlakuan yang tidak beretika. Pengurusan kewangan merupakan salah satu aspek terpenting di dalam pentadbiran kerajaan, apabila ia diurus dengan penuh rasa tanggungjawab, maka dapat mengelakkan kakitangan sektor awam dari terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak beretika.
            Walaupun Malaysia mengamalkan demokrasi, kakitangan sektor awam yang bertanggungjawab dalam sesuatu hal adalah tetap tidak dibenar melibatkan diri dalam politik mengikut peruntukan-peruntukan tertentu. Hal ini adalah kerana penglibatan dalam politik akan hanya menyebabkan perkhidmatan mereka terjejas.
            Natijahnya masalah-masalah dalam penyerapan program gerakan budaya kerja cemerlang yang dinyatakan perlu di atasi dengan langkah-langkah yang sewajarnya agar dapat meningkatkan kualiti kakitangan sektor awam seterusnya mengukuhkan nilai etika dalam diri mereka.

6.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENINGKATKAN KUALITI KAKITANGAN SEKTOR AWAM BAGI MENJAMIN ETIKA KERJA
Proses peningkatan kualiti hendaklah dianggapkan sebagai satu proses yang berterusan dan tiada titik penghabisan. Kualiti bukan sahaja di nilai berdasarkan daya pengeluaran atau penghasilan serta perkhidmatan yang diberi, tetapi juga diukur dalam semua kegiatan, tingkah laku dan pekerjaan yang dibuat oleh seseorang itu. Sehubungan itu beberapa langkah atau aktiviti telah disusun bagi mewujudkan budaya kerja yang berteraskan kualiti dalam kalangan kakitangan sektor awam. Aktiviti berikut adalah seperti ;

6.1 Anugerah Kualiti Perdana Menteri
Kerajaan telah memberi Anugerah Kualiti Perdana Menteri sebagai satu tanda penghargaan kepada semua agensi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam tahun yang berkenaan. Anugerah ini akan disampaikan setiap tahun pada sembilan November sempena Hari Kualiti Sedunia. Satu lagi keistimewaan anugerah ini ialah pemenangnya akan dijadikan model dalam pengurusan kualiti. Kejayaan ini akan diberikan publisiti yang meluas di dalam perkhidmatan awam. Jelas melalui langkah ini, adalah diharapkan bahawa agensi-agensi perkhimatan awam dapat mengambil iktibar dan teladan seterusnya mempertingkatkan pengurusan kualiti di Jabatan dan Agensi masing-masing.

6.2 Panduan Pengurusan dan Peningkatan Kualiti Dalam Sektor Awam
Panduan ini menjadi rujukan asas kepada agensi-agensi kerajaan dalam usaha mereka untuk menghasilkan perkhidmatan dan keluaran yang berkualiti. Berpandukan kepada Panduan tersebut, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan adalah dikehendaki menyediakan Panduan Pengurusan dan Peningkatan Kualiti masing-masing.

6.3 Bengkel-bengkel Latihan
Beberapa Bengkel Pengurusan dan Peningkatan Kualiti telah diadakan bagi Penyelaras-penyelaras Kualiti dan Produktiviti dan Pasukan-pasukan Petugas mereka. Selepas menghadiri latihan ini, Penyelaras-penyelaras Kualiti dan Produktiviti serta Pasukan-pasukan Petugas mereka adalah dikehendaki melaksanakan usaha-usaha peningkatan kualiti di agensi masing-masing. Selain itu mereka juga perlu melatih dan mendidik pegawai-pegawai dan staf di bawah jagaan mereka tentang pengurusan yang berkualiti.

6.4 Ceramah dan Perbincangan
Ceramah-ceramah dan perbincangan-perbincangan mengenai pengurusan dan peningkatan kualiti dalam perkhidmatan awam hendaklah diberikan iaitu bertujuan untuk membantu meningkatkan lagi kesedaran agensi-agensi ini tentang pengurusan kualiti.

6.5 Penngunaan Nota Serah Kerja
Salah satu daripada peraturan yang wajar diberi perhatian untuk mencapai continuity dalam perkhidmatan awam adalah penggunaan nota serah tugas bagi pegawai-pegawai yang terlibat dengan pertukaran, khasnya Ketua-ketua Jabatan yang mempunyai kuasa tertentu.

6.6 Sistem Pengiktirafan
Satu lagi dari kriteria yang penting untuk menuju ke arah peningkatan kualiti di dalam sesebuah jabatan atau agensi adalah sistem pengiktirafan bagi kakitangan yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Sistem pengukuran merit adalah penting dalam pengurusan sumber tenaga manusia. Bagi tujuan kenaikan pangkat, sistem pengukuran merit adalah berasaskan kepada kecekapan, sifat peribadi termasuk keutuhan, kelulusan dan pengalaman yang sesuai dengan jawatan serta kekananan hanya akan diambil kira sekiranya terdapat dua atau lebih pegawai yang mempunyai kebolehan yang sama.  Selain itu fakor kesesuaian dan penerimaan juga adalah penting bagi sesetengah jawatan yang tertentu.

6.7 Pita Video Kualiti
Ia adalah penyediaan sebanyak dua video klip berkenaan pengurusan berkualiti dan digunakan sebagai bahan latihan bagi Bengkel Pengurusan Kualiti. Pita-pita video ini adalah berjudul “Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Produktif” dan “Pengurusan Produktiviti Dan Kualiti Yang Berkesan”.

6.8 Pengumuman Melalui Televisyen
Bagi meningkatkan lagi kesedaran serta menerapkan quality cosciousness dalam kalangan orang ramai, tiga pengumuman telah disiarkan melalui televisyen. Pengumuman-pengumuman tersebut bertajuk :
·         Kualiti Memenuhi Kehendak Pelanggan
·         Kualiti Melalui Pencegahan
·         Kos Tidak Memenuhi Kehendak Pelanggan

6.9 Siri Panduan Pengurusan Kualiti
Sebagai sebahagian daripada usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang kualiti serta menunjukkan cara-cara yang praktikal untuk mengurus kualiti dan produktiviti secara berkesan, satu siri Panduan Pengurusan Produktiviti telah disediakan. Panduan-panduan ini telah diedarkan kepada semua Ketua Setiusaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan.

            Rumusannya menerusi langkah-langkah serta beberapa aktiviti yang disenaraikan adalah diharapkan dapat meningkatkan tahap kualiti kakitangan sektor awam umumnya dan membimbing mereka melaksanakan tanggungjawab dengan penuh beretika khususnya.

7.0  NILAI-NILAI UTAMA DALAM SEKTOR AWAM
Sebelum kita teruskan ke perbincangan berkaitan tujuh program tambahan peningkatan kualiti akan kita lihat dahulu nilai-nilai dalam perkhidmatan awam kini. Ia dapat menambah pengetahuan kita dalam perbincangan berkaitan kualiti juga etika. Nilai-nilai utama perkhidmatan awam yang terkandung dalam peraturan-peraturan perkhidmatan dapat dikenalpasti seperti yang berikut ;
a)      Taat Setia
Taat setiap kepada Raja, negara dan kerajaan merupakan salah satu daripada nilai-nilai terpenting yang perlu diamal dan dihayati oleh setiap kakitangan sektor awam.

b)      Amanah, Bersih dan Jujur
Seseorang kakitangan sektor awam dikehendaki melaksanakan tugas dan bertanggungjawab secara amanah, bersih dan jujur. Amanah adalah satu nilai yang perlu ada pada setiap kakitangan sektor awam oleh kerana keadaan tugasnya mengurus dan menjaga harta benda kerajaan dan rakyat. Bersih yang dimaksudkan pula ialah merangkumi bersih secara moral dan bersih dari segi fizikal.

c)      Bertanggungjawab
Manakala bertanggungjawab, seseorang  kakitangan sektor awam tidak boleh membelakangkan kewajipan awamnya atau berkelakuan yang boleh diertikan sebagai tidak bertanggungjawab. Bertanggungjawab juga membawa erti bahawa seseorang itu tidak terlepas dari dipersoal jika gagal melaksanakan tugasnya dengan sempurna.
     
d)     Berkecuali
Ia bermaksud kakitangan sektor awam dikehendaki melaksanakan tugas mereka tanpa membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar berhubung dengan sesuatu tuntutan yang berkaitan dengan tugas awamnya. Mereka juga tidak dibenarkan menyertai secara aktif mana-mana parti politik untuk mengelakkan keadaan serba salah.

e)      Adil dan Saksama
Arahan Perkhidmatan (1974) mengkehendaki seseorang pegawai awam sentiasa bersikap adil dan saksama terhadap orang ramai dan memberi mereka layanan-layanan yang teratur dan memuaskan.

f)       Prestasi Yang Cemerlang dan Berkualiti
Setiap kakitangan sektor awam tidak boleh cuai dan kurang berusaha sepanjang perkhidmatannya. Ia perlu menunjukkan hasil kerja yang baik dan berkualiti. Oleh itu setiap kakitangan perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka menerusi peningkatan kemahiran dan pengetahuan mengenai kerja.

g)      Ketepatan Masa
Salah satu nilai yang ditekankan dalam sektor awam. Perenggan 1, Perintah Bab ‘G’ (1974) telah menetapkan waktu bekerja perlu dipatuhi oleh semua anggota kerajaan. Arahan menggunakan Kad Perakam Waktu telah dilaksanakan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 11/1981. Ia bertujuan untuk memastikan kakitangan kerajaan tiba di pejabat pada masa yang ditetapkan.

h)      Perkhidmatan Ramah dan Mesra
Selain itu beberapa peraturan juga diperkenalkan untuk menentukan kakitangan sektor awam sentiasa memberi perkhidmatan yang ramah dan mesra.

i)        Sikap Berjimat Cermat
Sektor awam juga menganjurkan nilai sentiasa berjimat cermat semasa menguruskan harta dan kepentingan kerajaan dan negara.
      
Sebagai kesimpulannya berdasarkan nilai-nilai utama dalam perkhidmatan awam diharap semua kakitangan sektor awam dari hari ke hari cuba memahami dan menerapkan ia sebagai satu kewajipan dalam diri masing-masing. Dengan kesedaran ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti kerja kakitangan sektor awam dan juga kualiti perkihdmatan kerajaan.           

8.0 TUJUH PROGRAM TAMBAHAN PENINGKATAN KUALITI
Bagi memantapkan lagi usaha-usaha yang telah diperkenalkan setakat ini dan juga membantu Ketua-ketua Agensi melaksanakan pengurusan berkualiti, kerajaan telah memperkenalkan tujuh lagi program tambahan untuk dilaksanakan oleh setiap agensi kerajaan. Tujuh program berkenaan ialah :

a)      Sistem Cadangan Q
Sistem cadangan Q diperkenalkan dengan tujuan menggalakkan percambahan idea-idea yang boleh mempertingkatkan kualiti dalam kalangan kakitangan sektor awam. Di bawah sistem ini setiap kakitangan digalak menggunakan daya kreativiti dan inovasi masing-masing untuk mencadangkan kaedah-kaedah atau idea-idea yang boleh digunakan dalam meningkatkan kualiti output agensi. Cadangan-cadangan yang baik akan diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

b)      Sistem Proses Q
Sistem Proses Q pula diperkenalkan untuk membantu kakitangan sesebuah agensi menyempurnakan sesuatu proses kerja secara berkualiti. Di bawah sistem ini peringkat-peringkat proses untuk menghasilkan sesuatu output akan didokumenkan secara terperici dalam bentuk carta aliran kerja. Cara ini akan menjadi sumber rujukan kepada pekerja supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas tentang aspek kerja yang dijalankan serta standard-standard kualiti yang mesti dipatuhi.

c)      Sistem Pemeriksaan Q
Sistem Pemeriksaan Q adalah satu bentuk Quality Assurance untuk menjamin output yang dihasilkan oleh sesebuah agensi itu sentiasa berkualiti. Di bawah sistem ini agensi-agensi diminta melakukan pemeriksaan kualiti di berbagai peringkat proses pengeluaran sesuatu output. Sekiranya melalui pemeriksaan ini kecacatan output dikesan maka pembaikan serta merta boleh dilakukan.

d)     Hari Q
Hari Q adalah satu hari yang dipilih oleh sesebuah agensi untuk merayakan pencapaian dalam pengurusan kualiti. Matlamatnya ialah untuk membuktikan komitmen pihak pengurusan terhadap kualiti. Untuk menjayakan Hari Q ini agensi-agensi boleh mengaturkan aktiviti-aktiviti seperti majlis ikrar, ceramah, majlis penyampaian anugerah kualiti dan lain-lain.

e)      Slogan Q
Slogan Q diperkenalkan sebagai satu strategi untuk mewujudkan kesedaran tentang kualiti di kalangan kakitangan sesebuah agensi. Melalui slogan ini pihak pengurusan boleh menjelaskan kepada kakitangannya tentang visi agensi, matlamat kualiti yang ingin dicapai ataupun sistem nilai kualiti yang ingin diterapkan kepada pekerja. Slogan-slogan ini boleh disampaikan dengan menggunakan banners, poster, lencana dan berbagai media yang sesuai.

f)       Sistem Maklumbalas Q
Dalam usahanya meningkatkan kualiti, agensi-agensi memerlukan maklumbalas daripada orang ramai tentang perkhidmatan yang diberikan. Oleh itu melalui Sistem Maklumbalas Q, setiap agensi diminta mewujudkan sistem maklumbalas pelanggan di agensi masing-masing. Dengan adanya sistem ini maklumbalas daripada orang ramai akan dapat dikumpul dengan sistematik dan analisis secara terperinci. Hasil penganalisisan ini akan dijadikan asas untuk mempertingkatkan tahap kualiti perkhidmatan yang sedia ada.
g)      Sistem Maklumat Q
Program terakhir ialah Sistem Maklumat Q. Sistem ini bertujuan menyebarkan maklumat kepada orang ramai tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh sesebuah agensi. Maklumat-maklumat ini boleh disampaikan dalam bentuk risalah-risalah yang mudah dibaca dan difahami.

Kesimpulaanya menerusi tujuh program tambahan ini adalah diharapkan bahawa kualiti perkhidmatan dan keluaran agensi-agensi kerajaan dan perkhidmatan awam secara keseluruhan dapat dipertingkatkan lagi.

9.0  PENUTUP
Dengan perkenalan kepada apa itu etika kerja dan mengetahui kelebihan, kegunaan dan kepentingannya tidak dapat disangkal lagi bahawa etika perlu dititikberatkan dalam kalangan kakitangan sektor awam demi mewujudkan sebuah jentera perkhidmatan yang bermutu dan disenangi serta memuaskan hati semua pihak. Segala aktiviti yang disusun dalam program gerakan budaya kerja cemerlang adalah amat berpatutan dan bersesuian dengan keadaan masa kini bagi meningkatkan mutu kualiti pekerja sektor awam khususnya. Sejak perlaksanaannya dalam tahun 1989, perkhidmatan sektor awam dari hari ke hari berusaha keras membuat perubahan bagi mencapai matlamat yang dikehendaki, dan semuanya agar rakyat merasai perkhidmatan yang memuaskan. Nilai-nilai murni yang terkandung dalam etika dan juga di dalam program gerakan budaya kerja cemerlang untuk diterapkan sendiri mencerminkan nilai-nilai sejagat. Bukan sahaja untuk kegunaan semasa memberikan perkhidmatan, malah secara tidak langsung dapat mendorong para kakitangan sektor awam menghindarkan diri dari segala perlakuan negatif seperti rasuah, menipu, pecah amanah dan sebagainya dalam kalangan masyarakat. Sesugguhnya prinsip-prinsip atau nilai-nilai murni yang dihayati secara berterusan akan menyerlahkan akhlak mulia pengamalnya. 




Sunday, November 28, 2010

USAHAWAN SEBAGAI KERJAYA

Sem      -April 10/11
From    -Mindss
To        -Dr. Nazri Baharom
Subjec  -Pengurusan Kerjaya


1. Analisis dan bincangkan penawaran kerja kosong melalui iklan di dalam salah satu surat khabar utama di Malaysia (bermula tarikh 4 April 2010 hingga 3 Mei 2010).

1.0   PENGENALAN
Kerja secara umumnya boleh didefinisikan sebagai usaha seseorang untuk mendapatkan hasil serta penggunaan tenaga untuk kegiatan yang diinginkan oleh seseorang untuk mencapai matlamat tertentu. Reardon, Lenz, Sampson dan Peterson (2000) dalam Pengurusan Kerjaya, menyatakan kerja adalah satu jawatan berbayar yang dipegang oleh seseorang dalam sesebuah organisasi. Manakala kamus dewan edisi ke-3 mendefinisikan kerja sebagai, usaha (kegiatan, urusan) yang bertujuan untuk menghasikan (menyelesaikan,menyediakan) sesuatu. Rumusannya kerja yang sangat sinonim dengan perkataan usaha ini merupakan satu tingkah laku seseorang untuk mendapatkan apa yang diingini. Pekerjaan suatu masa dahulu tidak menjadi persoalan yang penting kepada masyarakat. Disebabkan faktor-faktor persekitaran ketika itu memandai jika seseorang berkebolehan bercucuk tanam serta mempunyai kemahiran tertentu. Sehubungan itu penawaran kerja yang dikemukakan pastinya tidak sehebat masa kini yang kita ketahui bergerak pantas seiring peredaran masa. Dan akhbar merupakan salah satu entiti yang digunakan untuk menjadi saluran pengiklanan penawaran kerja dari masa ke masa. Dengan kepelbagaian tawaran yang dibuka kepada firma-firma dan orang perseorangan oleh akhbar-akhbar tempatan untuk memuatkan sebarang pengiklanan, iklan jawatan kosong khususnya.
Untuk mengetahui lebih jelas berkaitan penawaran kerja semasa yang paling banyak diutarakan di dalam akhbar satu analisis penawaran kerja kosong melalui iklan di dalam salah satu akhbar utama di Malaysia telah dilakukan. Analisis ini menggunakan akhbar Berita Harian yang bertarikh bermula 4 April 2010 sehingga 3 Mei 2010. Melalui analisis ini beberapa maklumat dapat dikumpul dan dirumuskan.

2.0   PENAWARAN KERJA KOSONG PALING POPULAR
Berita Harian merupakan akhbar utama bahasa Melayu tanah air. Pembaca Berita Harian terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat meliputi pelajar, suri rumah, golongan kelas menengah dan juga ahli perniagaan. Merupakan media cetak terbesar di Malaysia dengan keupayaan untuk menjangkau pasaran secara pantas dan pada masa yang sama menyediakan pembaca kepada maklumat menyeluruh. Oleh hal berkenaan secara tidak langsung dapat menarik keyakinan pengiklan bahawa pembaca Berita Harian yang berfikiran terbuka dapat menerima produk-produk baharu yang ditawarkan. Sehubungan itu iklan-iklan yang dipaparkan sudah semestikan mengikut keperluan semasa. Melalui pemerhatian yang bermula empat April 2010 sehingga tiga Mei 2010 mendapati penawaran kerja kosong lebih memerlukan pengedar, stokis dan agen jualan kepada sesuatu produk atau dalam erti kata lain membuka ruang masyarakat menjadi peniaga kecil seterusnya ke peringkat usahawan.   
Kemunculan kepelbagaian produk seperti produk kesihatan, produk kecantikan, produk pemakanan dan sebagainya secara tidak langsung membuka peluang dan mendorong  masyarakat  bekerja dan memenuhi kehendak dalam kehidupan mereka. Dari masa ke masa  produk baru sentiasa diperkenalkan, kosmetik atau produk kecantikan terutamanya yang mendapat tempat dalam pasaran kini. Dianggarkan lebih 30 produk yang berlainan berada dalam pasaran bersaing mendapat tempat di hati pembeli. Berikutan persaingan ini para pengasas mempunyai pelbagai cara untuk mempromosikan atau memperkenalkan produk mereka, dan salah satu caranya ialah menggunankan tenaga manusia. Oleh hal yang demikian secara tidak langsung lebih banyak produk baharu diperkenalkan maka lebih banyak penawaran bakal kerja dikemukan.
Permintaan yang tinggi daripada pengguna menjadi faktor lebih banyak produk-produk baru diperkenalkan. Peluang keuntungan yang dikenal pasti menambahkan lagi semangat para usahawan sedia ada juga mereka yang baru mengenali mengambil risiko membuka perniagaan dengan memperkenalkan produk-produk tersendiri. Perniagaan dan keusahawanan merupakan satu bidang pekerjaan yang mencabar walaupun kelihatan mudah. Kedua-duanya mungkin membawa erti kata yang sama dari satu sudut iaitu bekerja sendiri menjual atau memberi perkhidmatan tertentu namun kedua-duanya adalah berbeza. Perniagaan merupakan suatu urus niaga jual beli dan tidak lebih daripada itu. Seorang peniaga hanya memikirkan pasal keunrungan dan tidak akan cuba untuk mengembangkan perniagaan tersebut. Biasanya seorang seorang peniaga hanya menjual barang yang sudah ada sahaja dan tidak akan cuba mengaplikasikan suatu suatu barang yang baru. Manakala seorang usahawan mempunyai perancangan jangka panjang. Ini sangat berlainan. Seorang usahawana mempunyai semangat kecekalan, ketabahan dan keazaman yang jitu dan utuh. Seorang usawahan biasanya merancang dahulu sesuatu perkara,tempat dan apa sahaja yang berkaitan produk serta perkhidmatan yang ingin dihasilkan. Selain itu seorang usahawan juga tidak hanya memikirkan untung semata-mata.
Kembali kepada tajuk utama perbincangan. Kedua-duanya iaitu peniaga dan usahawan, boleh dikaitkan. Mungkin ada yang hanya menjadi pengedar, stokis atau agen semata dan berniaga secara kecil-kecilan namun tidak kurang yang berpandangan jauh seterusnya mengambil keputusan memperbesarkan dan mengolah apa yang tersedia ada menjadi suatu benda atau perkara baru yang lebih komersial.        

3.0 FAKTOR-FAKTOR SESEORANG MEMILIH KERJAYA USAHAWAN
Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri dalam memilih kerja. Faktor-faktor penting seperti gaji, tempat tinggal, kemudahan yang disediakan dan sebagainya menjadi titik tolak penerimaan seseorang dalam sesuatu pekerjaan. Begitu juga dalam konteks ini, terdapat pelbagai sebab yang mendorong masyarakat memilih menjadi usahawan atau berniaga dan sebab-sebabnya adalah seperti berikut;
  1. Trend masa kini. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, suka mencuba sesuatu yang menjadi perhatian. Sehubungan itu suatu produk baharu di pasaran akan sentiasa mendapat permintaan tinggi apatah lagi jika produk berkenaan menepati citarasa pengguna.
  2. Tidak memerlukan modal yang banyak. Boleh memulakan perniagaan yang sesuai dengan modal yang ada. Keberangkalian kerugian juga adalah rendah.
  3. Tidak memerlukan kepakaran atau pengetahuan khusus. Mungkin bagi mereka yang berpendidikan rendah ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan. Kepakaran dalam berkomunikasi adalah yang terpenting. Hal ini kerana pekerjaan jenis ini memerlukan daya tarikan untuk menarik pembeli atau pengguna.
  4. Tiada bos. Selain itu tiada arahan itu ini daripada bos atau majikan juga memberikan kepuasaan kepada mereka yang memilih kerjaya sebagai peniaga atau usahawan. Orang yang suka bekerja bebas tanpa arahan selalunya condong memilih bekerja sendiri.
  5. Kerja sampingan. Menambah dan mengukhuhkan pendapatan dengan membuat sebarang perniagaan sebagai kerja sampingan juga popular masa kini. minat turut mendorong seseorang melibatkan diri dalam bidang ini. Walaupun mempunyai kerjaya tetap namun masih meninggalkan sedikit ruang untuk memenuhi kepuasan peribadi. Guru contohnya yang ramai melibatkan diri dalam bidang berniaga secara kecil-kecilan.          
Namun begitu semangat yang kuat perlu ada dalam setiap diri mereka yang ingin melangkah ke alam keusahawanan kerana tidak semuanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Fenomena pasang surut sering berlaku mengikut keadaan semasa dan usaha. Kekayaan dan risiko kedua-duanya terletak dalam tangan yang mengusaha.       
        
4.0 MANFAAT KEUSAHAWANAN
Bidang keusahawanan kini merupakan salah satu bidang yang penting dalam industri Malaysia. Pendapatannya turut menyumbang kepada pembangunan negara. Peranan keusahawanan bukan sahaja menyumbang kpeada pembangunan negara dari segi ekonomi khususnya bahkan ia juga melibatkan kepada struktur perniagaan dan masyarakat. Keusahawanan melalui proses kreativiti dan inovasi mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan yang diperlukan untuk memenuhi kehendak masyarakat. Di dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baik, mereka akan mencari kaedah yang lebih baik untuk memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran. Dengan ini, masyarakat akan mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah. Selain itu pertumbuhan dalam keusahawanan yang memerangsangkan sektor ekonomi secara langsung membuka peluang pekerjaan kepada segelinap masyarakat sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.
            Keusahawanan membantu memperbaiki mutu kehidupan masyarakat melalui produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan. Usahawan adalah individu yang bukan hanya mencipta kekayaan tetapi turut mendorong pembahagian kekayaan. Dalam Islam juga ada menyebut tentang kebaikkan berniaga dan menjadi seorang usahawan. Buktinya, Islam sangat mengiktiraf keusahawanan sebagai salah satu daripada cabang ibadat sehingga mengakui 90 peratus daripada sumber rezeki datangnya daripada hasil perniagaan. Sejarah keusahawanan Islam telah bermula sejak kejadian manusia di mana dua orang anak Nabi Adam Alaihissalam iaitu bapa kepada semua manusia melopori dua bidang utama keusahawanan. Anak pertama Habil mempelopori bidang pertanian manakala adiknya Qabil mempelopori bidang penternakan. Selain itu sejarah Islam turut menyaksikan kebanyakkan nabi yang diutuskan Allah S.W.T telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sama ada dalam bidang pertanian, ternakan, pertukangan dan perniagaan yang bukan sekadar di peringkat dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.
            Antara kepentingan atau manfaat keusahawanan lain ialah meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan merupakan salah satu strategi membasmi kemiskinan. Pendedahan demi pendedahan akan kepentingan bidang keusahawanan membuka mata masyarakat untuk menceburinya. Hanya mahu atau tidak mereput peluang ini sahaja kerana peluang sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin mencuba. Dalam keusahawanan kita dapat mempelajari pelbagai ilmu baru, bukan setakat mengetahui selok belok menjalankan perniagaan. Komunikasi lebih lancar dan dengan cara yang betul juga dapat diperbaiki apabila mereka berhubung sesama usahawan juga para pelanggan. Selain itu melalui keusahawanan seseorang mempunyai kemahiran khusus yang orang lain tidak ketahui iaitu menguasai ilmu tentang produk yang dijual. Sebagai contoh seorang usahawan menjual barang kosmetik, secara tidak langsung ia harus mengetahui kegunaan, kebaikkan sesuatu produk kepada individu tertentu mengikut kesesuaian, bahan-bahan yang terkandung dalam produk-produk berkenaan, cara-cara pemakaiannya atau penggunaannya dan lain-lain.
            Apa yang dapat dirumuskan ialah keusahawanan merupakan bidang yang banyak membuka peluang kepada masyarakat melayakkan diri untuk bersaing membangunkan kemajuan diri dalam segelinap sudut. Pelbagai manfaat yang diperolehi daripada keusahawanan harus disedari semua.               
   
5.0 PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DI MALAYSIA
Sejarah keusahawanan Islam telah kita ketahui serba sedikit seterusnya akan kita singkap sejarah permulaan keusahawanan di Malaysia. Keusahawanan di Malaysia bermula seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila penduduk tempatan menjalankan urusniaga dengan pedagang asing. Tanah Melayu khususnya Melaka ketika itu menjadi tempat pelabuhan pedagang-pedagang berhenti. Kemahshurannya di kalangan pedagang luar tidak asing lagi sehingga menimbulkan minat dikalangan kuasa besar untuk menaklukinya. Dan akhirnya apabila British berjaya memerintah Tanah Melayu, mereka membawa masuk buruh dari Cina dan India seterusnya menukarkan struktur sosial sedia ada dengan menjalankan pemerintahan “Pecah dan Perintah”. Dengan pemecahan ini orang Melayu dikerah bekerja sebagai pentadbir dan ditempatkan disektor pertanian. Kaum Cina bekerja dilombong dan berniaga manakala kaum India bekerja disektor perladangan. Hasilnya kaum Cina lebih kehadapan dalam soal perniagaan berbanding dengan kaum Melayu dan kaum India.
            Selepas kemerdekaan, kerajaan Malaysia menyedari betapa pentingnya bidang keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara serta mula memikirkan kepentingan sumbangannya kepada negara. Semenjak dari itu, kerajaan telah menekankan bidang keusahawanan sehingga hari ini. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020, semua pihak menggalakkan dan memberi sokongan terhadap pembangunan keusahawanan merupakan bukti-bukti kerajaan Malaysia  mengambil berat akan bidang keusahawanan.      
            Selain itu kerajaan menunjukkan galakan terhadap pembangunan keusahawanan dengan memberikan pengiktirafan kepada usahawan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Pada tahun 1995 kerajaan menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan sebagai badan yang mengawal dan mempromosi pembangunan keusahawanana di Malaysia. Kini, kementerian tersebut telah ditukar kepada kepada Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi. Penggalakkan keusahawanan turut di serap kepada masyarakat melalui perkenalannya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) baik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Suatu program telah dirangka dan dilaksanakan di beberapa buah IPT di Malaysia. Program ini dinamakan Program Pembudayaan Keusahawanan Siswa dan mempunyai empat aktiviti utama. Aktiviti pertama merupakan modul keusahawanan yang diajar untuk semua pelajar tahun satu sebanyak dua jam kredit. Aktiviti kedua ialah pelajar diminta menganjurkan kursus asas keusahawanan siswa selama lima hari untuk pelajar tahun akhir. Manakala aktiviti ketiga ialah Program Pembudayaan Usahawan Siswa (PPUS) tajaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Aktiviti keempat pula ialah program Student In Free Enterprise (SIFE) yang bertujuan untuk menggalakkan siswa menjalankan aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
            Pembangunan keusahawanan di Malaysia berkembang pesat sepesat pembangunan negara. Kerajaan berusaha keras dari masa ke masa memberi sokongan dalam bidang keusahawanan untuk memastikan masyarakat sedar akan kepentingannya iaitu bukan sahaja dapat menyumbang manfaat kepada pertumbuhan negara bahkan memberi kebaikkan kepada individu yang terlibat sendiri.          

6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya menerusi penawaran kerja kosong melalui iklan di dalam surat khabar Berita Harian mulai 4 April 2010 hingga 3 Mei 2010, didapati penawaran kerja kosong bukan sahaja terhad kepada kerja perkeranian, pentadbiran, teknikal dan sebagainya yang popular dalam akhbar bahkan peluang menjadi seorang usahawa turut terbuka luas. Faktor-faktor semasa turut menyumbang berlambaknya penawaran menjadi usahawan. Selain itu melihat kepada manfaat bidang keusahawanan kepada negara tidak hairan lah jika ianya terus berkembang dari masa ke semasa. Hal ini kerana manfaatnya bukan terbahagi kepada sesekumpulan individu sahaja malahan segelinap masyarakat Malaysia. Sehubungan itu dapat kita perhatikan perkembangan keusahawanan di Malaysia. Suatu ketika dahulu bidang ini merupakan bidang yang dipilih sebagai kerajaya dan walaupun kepentingannya dilupa seketika pada waktu zaman berevolusi namun kini kesedaran umum akan kepentingan bidang keusahawanan membangkitkannya kembali.         

7.0 RUJUKAN
Chek Mat. (2000). Pengurusan Kerjaya. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
       Distributors Sdn. Bhd.
Haji Ismail bin Abd Karim. (1995). Usahawan express laluan usahawan cemerlang. Kota Bharu:        Al-Khafilah Enterprise.
Mohamed Sharif Mustaffa, & Roslee Ahmad. (2006). Bimbingan dan kerjaya (konsep dan     amalan kontemporari). Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Muhammad Ali Embi. (2001). Pendekatan pengurusan sumber manusia masa kini.  Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Yep Putih. (1985). Keusahawanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


                                                              
 



CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK DALAM SESEBUAH ORGANISASI

-Sem April 10/11, Hubungan Manusia Dalam Pentadbiran.
-Disediakan oleh: mindss 
-Disediakan untuk:  Dr. Kalthum Haji Hassan

1.0  PENGENALAN
Kepemimpinan adalah merupakan satu topik yang diminati kerana ia menyentuh  kehidupan masyarakat dunia tanpa mengira budaya, sama ada dalam masyarakat  primitif atau sebaliknya. Ia juga diminati kerana kepemimpinan membawa kuasa, kedinamikan dan kejayaan individu dalam lapangan masing-masing. Kepemimpinan juga menjadi penting kerana kita boleh memilih sesiapa sahaja untuk dijadikan pemimpin tetapi kita tidak boleh memilih untuk tidak mempunyai pemimpin.
Seperti mana yang kita ketahui kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi pentadbirnya dalam erti kata lain yang memimpin. Seseorang pemimpin yang baik harus mempunyai ciri-ciri khusus tertentu dalam menjalankan peranannya sebaik mungkin serta menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mengelola ahli-ahli di bawah untuk mencapai matlamat organisasi. (Zainal Abidin Mohamad, 1998).    
Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. (Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997).
Selain itu, pemimpin juga membawa maksud seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu.
Seperti mana yang umum ketahui sejak dari awal kajian dibuat tentang sains pengurusan, terdapat beberapa pendekatan yang digariskan dalam membuat penilaian ke atas ciri-ciri pemimpin. Kepemimpinan menjadi penting kerana ia sering dikaitkan dengan keberkesanan dan kecekapan sesebuah organisasi termasuklah sekolah. Berasaskan premis inilah maka timbulnya slogan: "Pemimpinlah yang menjadikan organisasi itu berbeza dengan yang lain".
Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu iaitu yang pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. (Dr Robiah Sidin (1988).

2.0  CIRI-CIRI PERSONALITI YANG DIKAITKAN DENGAN SEORANG PEMIMPIN
Terdapat beberapa personaliti yang sering dikaitka dengan seorang pemimpin. Personaliti berikut ialah;

•      Keyakinan kendiri
            Merujuk kepada sejauh manakah individu itu berasa selesa dengan pertimbangan, keupayaan dan kemahirannya. Individu yang tidak berkeyakinan tidak suka menanggung risiko dan berasa tidak selesa apabila terpaksa membuat keputusan. Pemimpin yang berkeyakinan lebih berjaya berbanding dengan pemimpin yang rendah keyakinan kendiri.
•      Bertanggungjawab
            Individu yang bertanggungjawab cenderung melaksanakan kerjaya dengan penuh hati-hati dan bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sifat ini sering dikaitkan dengan kejayaan seseorang pemimpin.
•      Penyesuaian
            Merujuk kepada ketahanan dan keupayaan emosi menghadapi tekanan, konflik, dan kekecewaan. Pemimpin yang berupaya mengharungi rintangan-rintangan ini adalah lebih berkesan mberbanding dengan pemimpin yang tidak boleh menyesuaikan diri dalam keadaan tertekan
•      Suka bergaul/ramah
            Sifat ini juga disebutkan sebagai penting dalam kejayaan kepemimpinan kerana orang yang suka bergaul biasanya memperolehi banyak pengalaman dan mudah mempengaruhi orang-orang dalam organisasinya.
•      Dapat diterima
            Merujuk kepada sifat amanah, mudah bekerjasama, mesra, dan sopan. Orang seperti ini mudah bekerjasama dengan orang lain. Manakala sifat orang yang sukar diterima, biasanya tidak sabar, muram, syak wasangka, dan sukar bekerjasama dengan orang lain.
•      Berorientasi Pencapaian
            Individu yang berorientasi pencapaian berusaha melaksanakan tugas dengan jayanya kerana individu ini akan hanya berasa puas jika ia beroleh kejayaan. Individu seperti ini cenderung bekerja keras, bercita-cita tinggi dan suka persaingan. Manakala orang yang rendah orientasi pencapaian adalah tidak bercita-cita tinggi, suka dengan keadaan yang sedia ada, dan pasif serta usaha-usahanya adalah sedikit, kecuali jika ia dijanjikan ganjaran ekstrinsik.

3.0  CIRI-CIRI YANG BAIK MENGIKUT PADANGAN TOKOH TERKEMUKA
Mengikut pandangan tokoh Islam daripada Al Mawardi menyatakan bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai sifat seorang yang adil dalam memimpin pekerja di dalam organisasi tersebut. Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang berfikiran matang dan berani berijtihad dalam melakukan tugasnya. Seorang pemimpin juga menurut Al Mawardi perlulah berpancaindera yang sempurna. Ianya juga perlu mempunyai ilmu agama yang tinggi. Hal ini kerana dengan adanya ilmu agama yang tinggi secara tidak langsung dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada melakukan perkara yang mungkar dan seorang pemimpin juga perlu mempunyai anggota badan yang sempurna supaya boleh menguruskan pekerjaannya dengan sempurna. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala  menurut Imam Al-Ghazali menyatakan seorang pemimpin perlulah  seorang yang hidupnya dengan cara sederna tidak terlalu membazir dengan harta yang dimiliki olehnya. Seorang pemimpin juga perlulah melaksanakan kerja dengan tenang tanpa merungut dengan pekerjaan yang dilakukanna. Dia juga harus cuba memuaskan semua pihak jika hal itu tidak melanggar undang-undang dan peraturan. Seorang pemimpin juga menurut Imam Al-Ghazali perlulah mempunyai sifat kesedaran akan tanggungjawab besar jawatannya. Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang suka bersahabat dengan para ilmuan dan mendengar arahan para ilmuan tersebut. Hal ini keran supaya seorang pemimpin tersebut tidak melanggar undang-undang yang telah digariskan dalam Islam ataupun tidak terpesong daripada landasan agama Islam yang telah ditetapkan oleh syarak. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala menurut pandangan daripada tokoh barat iaitu Edwin Ghiselli menyatakan bahawa seorang pemimpin perlulah mempunyai sifat kesungguhan dan keyakinan kepada diri sendiri. Tanpa sifat kesungguhan dan keyakinan dalam diri sendiri boleh menyebabkan sesebuah organisasi tidak akan berjalan dengan baik. Begitu juga dengan kecerdasan yang terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah akan mengurangkan keberkesanan memimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, menurut pandangan tokoh Barat lainnya iaitu Ralph M. Stogdill, seorang pemimpin perlulah bersifat kecerdasan dan kemampuan juga bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal supaya seorang pemimpin tersebut dapat menguruskan organisasinya dengan baik. Seorang pemimpin juga perlu adanya sifat sosial iaitu dimana mempunyai daya kerjasama, kemampuan berkomunikasi dan berkebolehan untuk bermasyarakat. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, seorang pemimpin juga seharusnya mempunyai sifat keperibadian iaitu dimana berkebolehan, agresif dan berkeyakinan tinggi dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).

4.0  PERANAN PEMIMPIN
Pemimpin diamanahkan untuk menerajui organisasi bagi kepentingan semua ahli. Pemimpin dipilih dan dilantik kerana kelebihan-kelebihan tertentunya yang dikira dapat membantu organisasi, antaranya memainkan peranan-peranan penting mewakili organisasi. Oleh itu jelas seseorang pemimpin memainkan beberapa peranan secara serentak. Peranan-peranan berikut adalah seperti;  
4.1 Sumber rujukan: pemimpin berperanan sebagai pemberi maklumat dan idea kepada ahli-ahli apabila diperlukan. Oleh itu pemimpin harus luas pembacaannya, sentiasa mengikuti perkembangan, mempunyai hubungan yang luas, banyak pengalaman dan rajin belajar
4.2 Model: sebagai model atau contoh, pemimpin memperlihatkan sifat-sifat, tingkah laku dan kebolehan yang boleh diteladani.
4.3 Pendorong: pemimpin juga harus sentiasa meransang dan mendorong ahli-ahli dan rakan-rakan sepimpinannya untuk membangun diri, meningkatkan komitmen dan terus gigih memberikan khidmat serta subangan untuk kebaikan bersama.
4.4 Pembimbing: selaku pembimbing pemimpin turut mendidik, menyokong dan membolehkan ahli berperanan dengan aktif. Belajar memahami potensi dan bakat, minat dan kecenderungan, serta kekuatan dan kelemahan ahli dan membantu mereka untuk menjadi ahli yang aktif dan menyumbang      
4.5 Jurucakap/jurubicara: peranan ini menyerupai peranan “pegawai perhubungan awam”.  Iaitu berperanan sebagai jurucakap atau wakil organisasi dalam perhubungan dengan pihak-pihak luar.
4.6 Orang tengah: jika berlaku perbezaan pendapat, konflik antara ahli-ahli pemimpin berperanan sebagai orang tengah bagi mencari pendamaian. Bersikap adil dan tidak condong(bias) kepada mana-mana pihak. 
Disamping memainkan peranan-peranan seperti di atas, di dalam sesuatu keadaan tertentu pemimpin juga turut berperanan sebagai pakar (berdasarkan kemahiran dan pengelaman yang dimilikinya) guru, penyelaras, mentor, kaunselor, ideologi, penilai dan sebagainya.   

5.0  KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG HARUS DIMILIKI PEMIMPIN
Setiap pemimpin perlu mempunyai pengetahuan dan beberapa kemahiran asas, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tugasnya dalam sesebuah organisasi. Pengetahuan dan kemahiran yang dimaksudkan ialah pelbagai dan antaranya ialah;

1) Bekerja Dengan Orang. Boleh berhubung dan bekerja dengan orang, berbincang, mendengar   pandangan, merangsang ahli-ahli, menggalakkan ahli mengambil inisiatif dan menyerlahkan bakat dan potensi mereka.
2) Kebolehan Menganalisis. Kemampuan memahami dan menghuraikan sesuatu isu/persoalan dari pelbagai sudut serta merumusnya. Dapat berfikir dengan menggunakan berbagai-bagai teknik(kreatif/kritikal/lateral) 
3) Pengorganisasian/Penyusunan/Penggemblengan Tenaga. Memahami bagaimana organisasi beroperasi, cara-cara yang sesuai dan berkesan untuk menggerakkan tenaga-tenaga di dalam pertubuhan serta mendapatkan sokongan masyarakat.
4) Komunikasi. Dapat menyampaikan sesuatu denganbaik, berhujah dengan meyakinkan dan merangsang ahli.
5) Penggunaan Sumber. Tahu tentang kewujudan pelbagai sumber di dalam dan di sekitar organisas (individu, kumpulan,budaya,agama), sedar tentang pelbagai institusi dan pertubuhan di sekeliling dan dapat bekerjasama dengan mereka.
6)  Mesyuarat. Menguruskan mesyuarat dengan berkesan.
7)  Penulisan. Boleh menulis ucapan, kenyataan media, menyediakan cadangan dan laporan.
8) Kewangan. Tahu bagaimana mendapatkan wang yang diperlukan pertubuhan, merangka belanjawan dan menguruskan dana.
9) Kajian/Penyelidikan. Tahu bagaimana melakukan penyelidikan asas, faham kegunaan maklumat dan bagaimana mendapatkan maklumat yang dikehendaki.
10) Isu. Dapat mengenal pasti isu-isu penting dan dapat menilai potensi sesuatu isu bagi kepentingan organisasi.
11) Latihan. Tahu akan keperluanlatihan-latihan untuk organisasi dan dapat mengendalikan latihan.
12) Penggunaan Teknologi. Tahu menggunakan teknologi yang sesuai dan terkini bagi memudahkan kerja.
13) Alat-alat Komunikasi. Pandai menggunakan alat-alat komunikasi yang asas untuk pelbagai tugasan seperti internet, persidangan media, pembinaan kontrak dan lln. 
Walaupun kemahiran-kemahiran yang dinyatakan agak banyak, ini tidak bererti seseorang pemimpin itu harus menguasainya. Namun mereka harus berusaha menguasainya untuk kepentingan bersama terutamanya diri sendiri. Dalam pada itu pemimpin juga seharusnya berkemahiran mengangihkan sesuatu tugas, peranan dan bidang kerja tertentu kepada ahli-ahlinya.       

6.0  PENUTUP
Kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.
Walaupun kepimpinan boleh dipelajari, tapi tidak semua orang dapat menjadi pemimpin yang baik. Menjadi pemimpin yang baik memerlukan kesabaran, kecekalan, pembelajaran yang berterusan, sikap cintakan ilmu, penguasaan pelbagai kemahiran, disiplin diri yang tinggi, kesediaan untuk menerima teguran juga kritikan dan sebagainya. Natijahnya seorang pemimpin organisasi yang baik bukan sahaja bergantung kepada jawatan yang disandang tetapi lebih kepada keupayaannya mengendalikan peranan-peranan dalam organisasi dengan berkesan serta menguasai kemahiran-kemahiran yang dinyatakan dengan baik.

7.0  RUJUKAN
Aminudin Moh. Yusof (1990). Kepimpinan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
    Alias Mohamed. (1984). Kepimpinan, demokrasi dan tradisi. Kuala Lumpur: AMW Comunications Management.
Azizan Bahari. (2009). Menjadi pemimpin. Petaling Jaya: Qarya Sdn. Bhd.
Dr Robiah Sidin (1988).  Asas Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur:
         Dewan Bahasa & Putaka.
    Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997). Hubungan Nilai Kerja, Prestasi Kerja dan Kualiti Kehidupan Bekerja di Kalangan Pekerja Sektor Awam & Swasta. Jurnal Psikologi Manusia. Bil 11:97-114
      Mustafa Hj. Daud. (1996). Pemimpin Mengikut Pandangan Tokoh Barat, (Terjemahan),
        Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distibutors Sdn. Bhd.
 Zainal Abidin Mohamad. (1998). Pengurusan Strategik. Kuala Lumpur: Utusan
          Distributian and Publication.